Tema SaiFai amat mencabarkan saya, bukan saja sebagai seorang penulis tetapi juga sebagai seorang pembaca. SaiFai adalah suatu genre yang hampir tidak wujud dalam kamus kehidupan saya.
Bukan kerana ianya suatu yang amat saintifik ataupun berunsur masa depan, tetapi imaginasi saya yang kurang peka dengan selok-belok teknologi yang semakin pesat dalam dunia hari ini. Saya pernah cuba membaca, bukan tidak pernah, tetapi saya lebih pantas membaca seimbas lalu kerana kerap kali terasa cerita SaiFai yang dipersembahkan terlalu dibebankan dengan fakta-fakta dunia masa depan yang cuba dilakarkan oleh penulis sehingga plot utama tenggelam dalam penulisan itu. Ada juga kemungkinan yang saya belum menemui sebuah cerita SaiFai yang baik dan memuaskan selera hati saya.
Setiap kali memikirkan genre SaiFai, hanya satu nama yang muncul di benak: Ted Mahsun. Mungkin namanya kurang disebut oleh bibir komuniti pembaca dan penulis bahasa Melayu, tetapi beliau seorang penulis bahasa Inggeris yang berbakat dan dirinya amat peka dengan genre SaiFai. Ted Mahsun adalah seorang penulis yang pendiam dan rendah diri, tetapi minatnya pada SaiFai boleh dihidu dari beribu batu lagi. Jadi saya tunggu apa lagi? Terus saya mencungkil buah fikiran peminat SaiFai ini.
Cerita Ted, beberapa tahun yang lalu, dia menerima tugasan untuk menulis skrip filem tentang makhluk asing menakluki Kuala Lumpur. Kata penerbitnya, filem itu harus menarik minat penonton dari Hollywood dan negara China kerana dia ingin mendapatkan dana daripada kedua-dua negara itu. Ted peka dengan selera hati penonton Hollywood tetapi kurang pasti dengan penonton China.
Lalu diskusi bersama penerbit tentang definisi SaiFai dalam negara China berlanjutan lama. Semakin mendengar, semakin Ted merasa terkejut. Bukan saja orang China was-was dengan SaiFai, kerajaan mereka tidak memeluk SaiFai sebagai suatu yang berunsur baik. Di negara China, definisi SaiFai bergantung kepada tahap pendedahan yang dibenarkan oleh kerajaan mereka. Adakah mereka khuatir kepada kuasa dan pengaruh SaiFai dalam mengubah negara mereka?
Persoalan ini, yang dikeutarakan oleh Ted, menjamah pemikiran saya. Sebagai seorang penulis, saya selalu berpendapat karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis negara adalah suatu catatan sejarah buat generasi masa depan. Samada ianya berbentuk fiksi ataupun fakta, prosa ataupun puisi, penulisan adalah suatu saluran untuk merakam sejarah kehidupan. Setiap sejarah mungkin mengubah masa depan seseorang – dalam minda kecil saya, perubahan ini lebih berunsur individu dalam bentuk tumbesaran jati diri, emosi dan minda. Saya tidak pernah sama sekali memikirkan yang sebuah cerita fiksi mampu mengubah masa depan sejagat manusia, tetapi itulah yang tersemat dalam kepercayaan Ted Mahsun.
Untuk menyakinkan saya, Ted berkongsi sebuah esei mengenai genre SaiFai di China yang ditulis oleh penulis terkenal antarabangsa bernama Neil Gaiman. Pada tahun 2007, Neil Gaiman menghadiri konvensyen fiksyen sains dan fantasi yang pertama di China yang diluluskan oleh kerajaan China. Perasaan ingin tahu mengapa kerajaan China mengubah fikiran tentang SaiFai mendorongnya untuk menanyakan perihal itu pada salah seorang pegawai rasmi di situ. Dan ini jawabnya:
“Ianya amat mudah. Orang China amat cemerlang dalam penghasilan benda baru jika orang lain menunjukkan pelannya kepada mereka. Tetapi orang China tidak mencipta dan menginovasi; mereka tidak berimaginasi. Jadi mereka menghantar wakil ke Amerika Syarikat – ke syarikat dan jenama berjaya seperti Apple, Microsoft dan Google – untuk bertanyakan orang yang sedang mencipta masa depan mereka tentang diri mereka. Dan didapati kesemua pencipta ini pernah membaca SaiFai pada usia muda.”
Mereka tidak mencipta dan menginovasi – suatu ayat penampar buat kita semua di Malaysia. Seperti orang China, anak Malaysia juga pandai menghasilkan benda baru. Tetapi kita kurang mencipta atau menginovasi, kita lebih cekap menghasilkan semula apa yang orang lain sudah cipta. Ted berpendapat perihal ini turut benar dalam penghasilan karya SaiFai dalam negara kita; kebanyakannya sudah pernah dicipta oleh orang lain sebelum ianya dihasilkan semula oleh penulis Malaysia.
Mengapa begitu? Padahal kerajaan kita tidak mengongkong atau menyekat kita daripada menjadi pencipta. Mengapa kita redha menjadi seorang penghasil, dan bukan berusaha menjadi seorang pencipta?
Untuk menjadi seorang pencipta, kita harus peka dengan perkembangan dalam genre pilihan kita. Contohnya, SaiFai. Tidak cukup setakat menonton filem SaiFai, kita harus membaca cerita yang terbentang di luar sana oleh penulis serata dunia. Kita harus mengikuti perkembangan semasa dunia teknologi menerusi berita dan jurnal. Adakah kita sedang mencipta suatu dunia masa depan menerusi SaiFai ataupun masa depan itu sudah hadir dalam kajian semasa?
Seorang pencipta tidak menghasilkan sesuatu yang sudahpun dicipta; itu penghasil namanya. Seorang pencipta akan bersungguh-sungguh memikirkan idea baru yang tidak pernah diterokai oleh yang lain dan berusaha merealisasikan idea itu. Seorang pencipta akan melangkaui batasan imaginasi yang sedia ada dan mencipta suatu yang baru. Persoalannya, adakah penulis Malaysia seorang pencipta atau penghasil?
~
Rencana ini pernah diterbitkan di dalam zine Legasi Oakheart #8: Sai Fai:
Terima kasih Gina. Satu jentikan untuk minda kita, supaya jadi pencipta dalam karya.
LikeLike