Salam,
Bagi sesetengah cerita SaiFai, latar itu sepenting jalan ceritanya, malahan kadangkala latar dalam sesetengah cerita menjadi begitu penting sehingga latar itu boleh juga dianggap sebagai suatu watak yang penting.
Ingat tak novel Dune (1965) yang ditulis Frank Herbert? Ceritanya berkisar sebuah planet yang diliputi padang pasir di mana manusia menjalankan penuaian Spice. Spice dianggap sumber yang penting kerana ianya dihadam pemandu kapal angkasa untuk bertahan semasa perjalanan jarak jauh.
Planet ini dipanggil “Arrakis” atau nama gelarannya, “Dune”. Novel ini hampir keseluruhannya mengambil tempat di Dune dan Herbert menonjolkan keganjilan dan keistimewaan yang terdapat di planet itu (contohnya Sandworms dan kaum Fremen yang menunggang Sandworms tersebut) dengan begitu menarik sekali sehingga kita sebagai pembaca terasa seperti berada di sana dan turut merasai keterikan dan kedebuannya yang tak terhenti-henti. Ini menyebabkan kita teringat-ingat kepada Dune, iaitu latar dalam novel ini, sebagaimana kita teringat-ingat kepada watak-watak utamanya seperti Paul Atreides dan Baron Harkonnen selepas selesai membacanya.
Cerita-cerita SaiFai banyak memaparkan latar seumpama latar Dune. Malah, khabar angin mengatakan George Lucas telah menciplak idea sebuah planet padang pasir dan menjadikannya salah satu latar yang penting dalam filem Star Wars yang pertama, Star Wars: Episode IV – A New Hope (1977), iaitu Tatooine, planet kampung Luke Skywalker.
Dalam filem itu turut dinyatakan lagi bahawa salah satu kargo yang pernah dibawa Han Solo dalam kapalnya, Milennium Falcon, ialah “rempah ratus” atau “spice“. George Lucas kemudian membawa idea ini ke hadapan lagi dan memperkenalkan sebuah planet salji, sebuah planet paya, dan juga planet hutan.
Tetapi tak semua karya SaiFai terletak di tempat-tempat yang jauh tersebar luas di cakerawala. Sesetengah karya SaiFai terletak berhampiran dengan kita. Bandaraya sentiasa dijadikan latar yang tidak dapat dilupakan.
Misalnya filem Ghost in The Shell (1995), arahan Mamoru Oshii, terletak di bandar yang mungkin Tokyo pada masa hadapan tetapi jelas sekali latarnya bukan di Jepun seperti kita mula-mula sangka (kerana ianya filem anime Jepun) tetapi sangat-sangat dipengaruhi Hong Kong, terutamanya daerah Kota Berdinding Kowloon, sebuah “kota di dalam kota” yang kini sudah dirobohkan.
Jelas pengarah filem ini sangat terinspirasi oleh “keistimewaan” sebuah “kota di dalam kota” ini sehingga dia menggunakannya sebagai latar dalam filemnya. Kita dapat lihat betapa sempitnya jalan di dalam kota Kowloon itu dan walaupun ia diselubungi kekotoran dan kemunduran, terdapat juga mereka yang berjaya menjadikan tempat itu sebagai tempat tinggal dan tempat perniagaan.
Filem-filem anime Jepun memang gemar memaparkan bandaraya sebagai latar yang menarik. Saya juga teringat kepada Tokyo 2019 yang muncul di dalam Akira (1988) arahan Katsuhiro Otomo atau Laputa, bandar yang terapung-apung di langit daripada filem Castle in The Sky (1986) arahan Hayao Miyazaki. Kedua-dua bandar itu juga terbenam dalam ingatan saya walaupun sudah bertahun sejak kali terakhir menonton filem-filem itu.
Contoh lagi satu karya yang berlatarkan tempat di planet Bumi ini, malah di bawah permukaan laut, ialah Transgenik Sifar (2015) yang ditulis oleh Sri Rahayu Mohd Yusop. Saya sangat sukakan novel ini dan ia memang berhak mendapat tempat nombor satu yang dimenanginya dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan yang lepas.
Ia adalah cerita yang sangat intimate dan personal tetapi apa yang saya teringat-ingat selepas menghabiskan novel itu adalah latarnya yang memaparkan dunia yang ditenggelami laut. Sri Rahayu berjaya menceritakan betapa susahnya manusia berusaha untuk meneruskan kehidupan di bawah laut dan bagaimana mereka terus menyesuaikan diri kepada perubahan alam sekitar yang berlaku kepada mereka.
Jadi selaku seorang penulis SaiFai, fikir-fikirlah tentang pentingnya latar dalam cerita anda. Mungkin juga latarnya boleh dihidupkan dan dijadikan sesuatu yang membuat pembaca semakin tertarik dengan cerita anda. Tak semua cerita SaiFai mementingkan latar. Itu tak mengapa; kerana lain cerita, lain sifatnya. Kebanyakan cerita saya pun tidak berapa memberi tumpuan kepada latar.
Tetapi bagi mereka yang menulis cerita SaiFai yang menggunakan sesuatu tempat yang menarik, ambillah kesempatan itu untuk menumpukan sedikit perhatian kepada latar, bangunkan betul-betul supaya latar itu terperinci dan menarik. Jika dilakukan dengan baik, pembaca akan teringat-ingat dengan latarnya sebagaimana mereka teringat-ingat watak-watak yang memenuhi cerita SaiFai anda.
(Watak anda perlu juga menarik, tapi itu cerita lain untuk hari yang lain. Dan jangan lupa plot, itu harus menarik juga kerana plot itu tulang belakang sesuatu cerita. Tiada plot, tiadalah cerita.)
Oh Ted. Terima kasih kerana menyebut. Saya setuju latar tempat sangat penting. Roh cerita itu terkandung pada latarnya, lebih-lebih lagi saifai. Hendak sahaja saya katakan bina dahulu latar, dan barulah letakkan watak & cerita apabila menulis saifai. Satu perkongsian yang bermanfaat.
LikeLiked by 2 people
Saya tertarik dengan kata-kata Kak Sri mengenai pembinaan latar sebelum watak dan cerita kerana memang ramai penulis saifai dan fantasi yang melakukan begitu sehingga ada komuniti internet yang hanya berteraskan pembinaan latar (worldbuilding) sahaja!
Sebenarnya saya mahu panjangkan lagi artikel ini dengan membincangkan pembinaan latar tetapi semalam semasa menulis ini agak kelam-kabut dan penat. Mungkin saya boleh kembangkan lagi dalam artikel masa akan datang.
LikeLiked by 1 person