SaiFai Tetap SaiFai – Wawancara bersama Sri Rahayu Mohd Yusop

SAMSUNG CSC


Sri Rahayu Mohd Yusop bukanlah calang-calang. Dalam dunia SaiFai kita, beliau bolehlah disamai dengan keprolifikan Ursula K. Le Guin kerana kedua-duanya sudah banyak menyumbang dalam karya berbentuk fantasi (Sri Rahayu untuk Bukan Legasi Lalang, Odisi Tanah Kencana) dan fiksyen sains, malah kekuatan kedua-duanya adalah daripada penguasaan bahasa yang sangat ekspresif dan bertaakul tinggi, walaupun Rahayu lebih banyak memilih jalan mencipta watak dan latar dalam kebiasaan dunia SaiFai remaja. Rahayu juga amat dekat dengan kesusasteraan, dan hal ini dibuktikan apabila novel kontemporari beliau, Qalam Kalbu (2013) memenangi novel terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

QalamKalbu

Wawancara ini mendedahkan jalan dan cabaran Sri Rahayu dalam meniti genre yang selalu disalah anggap tidak sesuai untuk golongan wanita dan penulis wanita dengan meletakkan kakinya teguh pada peta perkembangan dan sejarah SaiFai Malaysia.

Puan Sri kiranya, menjadi penyambung kesinambungan penulis SaiFai wanita yang jarang-jarang hendak menceburi bidang ini, seperti Cecilia Chin pada era 1980-an dan Lamia Aimal pada era 1990-an. Setujukah kalau dikatakan, SaiFai ini masih genre budak lelaki?
Benar. SaiFai di Malaysia masih genre budak lelaki. Mula-mula saya mahu katakan tidak, tetapi saya khuatir yang penulis wanita yang menulis SaiFai sekarang tidak akan istiqamah menulis dalam genre ini.

Satu novel SaiFai dan kemudian, senyap atau terus bersara, sedangkan untuk membina portfolio SaiFai itu memerlukan beberapa novel atau beberapa karya dalam pelbagai bentuk dalam SaiFai, dan perkara ini mengambil masa bertahun-tahun, malah berdekad-dekad lamanya.

Sedangkan penulis-penulis lelaki berjaya membina portfolio yang agak mantap dan istiqamah, paling singkat dalam masa lima tahun. Sebenarnya, saya bercakap tentang apa yang mungkin akan berlaku kepada diri saya. Saya takut saya tiada berupaya untuk terus berkarya dalam SaiFai.

Apakah yang menjadi pendorong utama Puan Sri menceburi genre SaiFai?
Bagi saya, genre SaiFai ialah genre yang paling banyak bahan rujukan kerana penemuan sains dan fakta saintifik didokumentasikan dengan baik di Internet. Sains tidak akan pernah lapuk. Ia akan sentiasa relevan selagi manusia berhubung dengan alam, Tuhan dan sesama manusia. Saya berasa rugi jika saya tidak memanfaatkan sumber yang sebegitu banyak dan berada di hujung jari.

Tetapi sebenarnya, saya memang terlalu minat pada sains. Saya anak pesawah, tapi bapa saya ada ensiklopedia dinosaur, ensiklopedia astronomi, dan ensiklopedia kenderaan. Bapa saya melanggan majalah Insight dan Plain Truth (majalah agama Kristian yang juga membincangkan sains), dan saya disuruh baca bahan-bahan ini.

Benda itu, ada dalam diri saya walaupun saya tidak melakukan pembacaan yang luas dalam karya SaiFai itu sendiri. Saya hanya menunggu peluang untuk menulis SaiFai sedang saya menulis karya bertemakan warisan atau sejarah selama bertahun-tahun. Syukur alhamdulillah, masa itu sampai jua.

jurassicpark

Novel SaiFai pertama yang Puan Sri baca ialah?
Jurassic Park oleh Michael Crichton. Tahun 1994. Saya kerja kilang selepas tamat Tingkatan 5 dari Sekolah Tun Fatimah. Saya beli novel itu dengan gaji pertama saya.

Puan Sri mengajar bahasa Inggeris, dan amat dekat dengan kesusasteraan Inggeris dan kenal drama Shakespeare. Bolehkah dikatakan, pendedahan ini yang membawa pada penciptaan karya Puan Sri?
Ada benarnya. Karya Shakespeare yang utama, saya tidak baca semua, hanya tiga yang saya boleh hafal dialognya – Romeo & Juliet, Hamlet dan Macbeth mengajar saya tentang penggunaan masa untuk penceritaan.

Hal ini yang menyebabkan novel-novel saya amat pendek kerana saya terpengaruh dengan format drama pentas. Saya mahu sebab dan musabab muncul dalam babak yang sama kalau boleh.

Siapakah penulis SaiFai (luar negara) yang Puan Sri kagumi?
Ray Bradbury, Michael Crichton, Isaac Asimov (cerpen-cerpen beliau sahaja, kerana saya tak berdaya membaca novel beliau) dan Kazuo Ishiguro kerana novel Never Let Me Go.

Jika menulis novel SaiFai, apakah perkara pertama yang terlintas dalam kepala Puan Sri sebelum mula menulis?
Protagonis yang mencari siapa dirinya dalam keadaan yang kacau-bilau. Saya bermula dengan satu watak, seorang insan yang keseorangan dalam dunia yang porak-peranda atau dia tidak fahami.

Persekitaran, isu, idea dan ideologi, semua itu adalah pentas dan wahana yang akan membawa protagonis kepada dirinya yang sebenar.

Boleh senaraikan kesemua novel SaiFai Puan Sri?

  1. Impuls/Roh (Utusan Publications & Distributors,2010)
    impuls-roh
    Impuls/Roh merupakan respons saya terhadap filem The Matrix. Saya berpendapat, kesedaran manusia tidak boleh dimanipulasi secara terus kerana ia dimiliki oleh roh yang dimiliki oleh Allah. Kesedaran hanya boleh dimanipulasi melalui deria dan ia boleh berlaku jika manusia mengizinkan ia berlaku terhadap dirinya dengan mengambil dadah, atau dipukau.
  1. Equilibria (Utusan Publications & Distributors,2012)
    Equilibria
    Equilibria ialah hasil perasaan saya yang terkesan dengan sikap manusia yang suka membazir lalu saya membayangkan bagaimana jika semua benda yang kita puja dan inginkan akhirnya membawa kepada kemusnahan alam sekitar? Saya menerima kenyataan yang novel ini hanya layak memenangi tempat kedua kerana ia tidak tamat secara full circle. Saya mendapat inspirasi menulisnya daripada siri televisyen Lost.
  1. Transgenik Sifar (Utusan Publications & Distributors,2015)
    transgeniksifar
    Saya berniat untuk meniru Never Let Me Go oleh Kazuo Ishiguro apabila menulis Transgenik Sifar. Tetapi sudah tentu hal itu tidak sampai tahapnya. Tetapi kerja itu menjadi sesuatu yang lain pula. Saya mendapat ilham daripada cerita pari-pari, The Little Mermaid dengan versi ikan duyung yang akhirnya menjadi bebuih di lautan.

Novel SaiFai manakah yang paling mencabar?
Transgenik Sifar kerana saya cuba bangkit daripada kualiti Equilibria yang tidak berapa menjadi.

Apakah ada satu-satu alat, seperti kamus yang Puan Sri rasa sangat berguna untuk penulis SaiFai kita?
Internet. Saya menulis dengan Internet terpasang dan ia tidak mengganggu bahkan membuatkan proses kerja saya pantas kerana saya boleh buat pengiraan serta rujukan yang cepat dan mudah dengan bantuan Internet.

Melihat pada perkembangan karya SaiFai sekarang, Puan Sri rasa ada peningkatan?
Perkembangan genre SaiFai di Malaysia sekarang sangat menggalakkan. Bukan sahaja dalam bahasa Melayu, malah dalam bahasa Inggeris dan dalam pelbagai jenis penerbitan. Apatah lagi apabila orang-orang muda dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang berfikiran terbuka dan kritis kini menulisnya. Bagi saya, genre SaiFai bukanlah untuk penulis yang terlalu tua dan perkembangan ini adalah sesuatu yang segar dan mengujakan.

Apa lagi yang perlu diterokai oleh para penulis SaiFai kita?
Penulis SaiFai perlu menguasai cara untuk menyampaikan ilmu sains supaya boleh difahami oleh orang yang tidak minat dengan sains atau SaiFai. Satu lagi, penulis SaiFai perlu bersedia menulis perincian teknologi secara mikro, namun tanpa membosankan pembaca.

Dari segi kandungan, bolehkah dikatakan, persembahan dan tema karya SaiFai sekarang meninggalkan SaiFai era 1980-an? Jika kita lihat pun, pada era 1970-an dan 1980-an, SaiFai dikategorikan sebagai “pembacaan remaja peringkat rendah dan kanak-kanak” atas populariti drama televisyen era itu (Star Trek, The Time Tunnel, dan Batman, contohnya) di Malaysia, dan seakan-akan, Rahmat Haroun merupakan seorang yang cuba mengubah persepsi pembacaan pada masa itu, bahawa SaiFai boleh dinikmati oleh pembaca dewasa. Adakah transisi ini sudah lebih jelas sekarang, atau kita masih pada takuk “pembacaan ringan”, kerana karya SaiFai selalunya dicalonkan dalam kategori karya remaja, seperti dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, contohnya?
Saya rasa kita sudah mempunyai SaiFai Malaysia yang sudah berada pada tahap dewasa. Namun begitu, jika ada penulis yang membawanya sebagai peringkat remaja, hal itu adalah pilihan penulis sendiri kerana kekangan kategori sayembara misalnya (dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan misalnya).

Tetapi kebanyakan SaiFai yang diterbitkan oleh penerbit lain memang sudah berada pada tahap dewasa umum. Dan yang bagusnya tentang SaiFai ialah, sama ada ia untuk remaja atau umum, ia tetap SaiFai.

SaiFai bersesuaian dengan konsep inovasi. Bagi Puan Sri, yang mana lebih utama, inovasi atau kreativiti?
Saya penyokong inovasi kerana saya berpendapat, semua benda yang perlu dicipta (create) telah pun diciptakan. Yang berlaku sekarang adalah memajukan teknologi yang telah tercipta kepada bentuk yang lebih cekap.

Dan saya percaya, benda-benda yang tidak boleh tercipta tidak akan tercipta, contohnya mesin masa dan mesin pembaca minda. Peliknya, saya percaya mesin pembuka portal ke alam lain boleh dicipta.

Peliknya, novel SaiFai hangat di pasaran luar negara. Kini, China dan India juga sedang menampakkan potensi besar dalam pasaran karya SaiFai tempatan. Kenapa Malaysia tampak kurang mendapat sambutan? Adakah pelajar kita bermasalah?
Pelajar kita tidak bermasalah. Orang dewasa kita yang sebenarnya bermasalah. Orang dewasa yang sepatutnya membekalkan pelajar kita dengan bahan-bahan yang menyediakan mereka menjadi saintis atau orang yang boleh berfikir secara saintifik.

Saya tidak anggap siri francais filem, termasuklah The Hunger Games, Divergent, Maze Runner, The Fifth Wave, dan The 100 sebagai SaiFai. Tetapi jika remaja di Barat didedahkan kepada cerita-cerita sedemikian (yang berbau SaiFai dan membawa isu bertahap global) secara besar-besaran melalui filem dan televisyen, sedangkan remaja kita didedahkan dengan kisah-kisah masalah domestik, romantik secara agresif melalui filem dan televisyen, akan berlaku jurang pada tahap hasil karya generasi yang sama pada tempat yang berlainan pada masa hadapan.

Falsafah tersendiri Puan Sri akan karya SaiFai?
SaiFai ialah kisah tentang hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan alam. Ia semudah itu. Yang lain-lain, landskapnya, masanya, teknologinya, adalah perhiasan yang memberi kita rencah rasa SaiFai, seperti yang telah dibiasakan oleh para pemula genre ini.

Harapan Puan Sri untuk SaiFai kita?
Agar penulis muda kita sekarang yang berusia dalam lingkungan 20-an berkarya pada waktu muda dalam SaiFai akan terus berkarya sampai dua hingga tiga dekad lagi.

Kadangkala, kita mengkritik penulis (yang menghasilkan karya SaiFai) yang berada dalam usia persaraan, tetapi kita perlu karya yang baik untuk menggantikan karya yang tidak menepati piawaian. Penulis muda, diharapkan dapat muncul dan ambil tempat anda untuk mengisi kekosongan ini.

~

Dapatkan novel Transgenik Sifar dan Equilibria dari laman web www.mybooks.com.my

One thought on “SaiFai Tetap SaiFai – Wawancara bersama Sri Rahayu Mohd Yusop

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s