Wawancara bersama Amer Hmzah L. Kadir, Bahagian 1

amerhmzah1

Alhamdulillah, berpeluang juga kami nak mewawancara penulis prolifik dari utara ni. Siapa yang tak kenal dengan nama Amer Hmzah L. Kadir, penulis prolifik yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2005 dengan novel hebatnya Kembara Amira. Cikgu Amer juga telah berjaya menggondol dua anugerah dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan (Sayembara SaiFai) dengan bukunya bertajuk Kala Yuda (hadiah pertama untuk musim pertama) dan ID: Interdimensi (hadiah saguhati untuk musim kedua). Terkini, beliau dinobatkan sebagai salah seorang pemenang untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2015 dengan novelnya Bedar Tanpa Laut. Jom kita ikuti sesi bual bicara dengan penulis serba boleh dan luas pengalaman ini.

Sebagai permulaan, boleh Cikgu Amer kongsikan sedikit permulaan Cikgu menceburi bidang penulisan? Adakah latar belakang Cikgu sebagai guru sejarah banyak membantu?
Sebenarnya saya suka membaca dan kegemaran itu telah menjentik naluri saya agar cuba menulis. Bermula dengan kosong; maksud saya tanpa menghadiri sebarang kursus penulisan atau perbengkelan dan menjadi ahli mana-mana persatuan penulis, saya mulakan dengan cerpen. Hanya dua cerpen yang pernah saya hasilkan dan kemudian mula berangan-angan menulis novel. Bagi saya, angan-angan amat penting dalam hidup. Dan sungguh ajaib, angan-angan itu bertukar menjadi realiti.

kembaraamiraKarya pertama saya ialah Kembara Amira dan karya ini sedikit bersejarah. Ditolak oleh beberapa penerbit sebelum saya hantar kepada Utusan Publications & Distributors (UPND). Tanpa mengetahui siapa yang mencadangkan novel itu menyertai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 (bukankah itu ketentuan Allah SWT), suatu petang saya dihubungi oleh Puan Nor Azah Abd. Aziz (kini telah bersara) menyampaikan berita kemenangan Kembara Amira. Saya hanya menjawab – terima kasih puan, tanpa sedar saya sudah memasuki suatu dunia yang amat menarik. Sejak itu angan-angan saya terbukti bukan lagi sekadar angan-angan. Kembara Amira berlatarkan sebuah tapak arkeologi kerana bidang ini amat saya kagumi. Sebagai seorang guru sejarah dan mempunyai latar pendidikan dalam bidang ini, saya seboleh mungkin akan menyuntik elemen ini dalam mana-mana karya saya selepas itu. Bidang sejarah amat luas kerana kemampuannya menjelaskan dan mencari kebenaran kejadian masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Bukan bermakna saya berpegang kepada Teori Pensejarahan sebaliknya menggunakan elemen tersebut dalam berkarya.

Novel Kala Yuda melakar sejarahnya tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang pertama untuk Sayembara SaiFai pertama dalam sejarah negara kita. Tambah menarik, Cikgu pernah menyatakan bahawa kajian untuk novel ini dilakukan berdasarkan sumber bertulis semata-mata. Boleh Cikgu kongsikan serba sedikit pengalaman menulisnya?
Kala Yuda ditulis ketika mendapat berita peluncuran sayembara dari media. Ini bermakna saya selesai menulis dan menghantar manuskrip kepada urus setia sebelum saya menyertai bengkel di Alor Setar. Ketika menghadiri perbengkelan itu, terdetik dalam hati saya Kala Yuda akan tewas sebelum bertarung kerana saya khuatir karya itu bersifat fantasi. Jadi saya tidak letakkan sebarang harapan. Biarlah dia bertarung tanpa keris di tangan!

WarisnyaKalbu copySepanjang menulis Kala Yuda, saya hanya merujuk sumber bertulis. Memang itu hakikatnya. Tanpa internet yang memudahkan penulis berkarya, saya kembali menjadi pembaca. Idea menulis manuskrip ini hanya bersumberkan sisipan sains dan teknologi yang diberikan percuma kepada pembeli akhbar Utusan Malaysia. Dalam satu keluarannya terdapat perbincangan tentang teknologi nano, sesuatu yang baru untuk dunia sains. Dan saya mula berfantasi tentang kehidupan manusia suatu ketika nanti dan keburukan jika bidang sains di salah gunakan. Watak Zaman menjadi bahan kajian saya. Malah Kala Yuda juga menyentuh keadaan politik dan sosial suatu ketika nanti apabila dunia ini sudah hilang sempadan dan sebaliknya hanya wujud negara-negara kota. (ini sejarah peradaban manusia merujuk kepada tamadun Mesopotamia, Mesir Purba dan China). Bagaimana kehidupan manusia apabila semuanya dikawal oleh sains dan teknologi serta kewujudan kelas dalam kehidupan manusia seperti yang berlaku suatu ketika dahulu.

Saya melakukan rujukan teks semata-mata. Bahan-bahan ketika belajar di universiti, ensiklopedia, kembali ke perpustakaan dan saya rasa saya kembali menjadi pelajar ketika itu. Dalam karya ini saya wujudkan watak separuh manusia (SEPMAN), sesuatu yang biasa jika dilihat di dalam filem-filem berlatarkan fiksyen sains.

Jika ditanya, novel manakah yang paling saya sayang; saya akan menjawab Kala Yuda! Saya adunkan segala peristiwa dan kejadian yang bersejarah lewat 1980-an dan awal 90-an yang mungkin disedari oleh pembaca yang benar-benar tahu apa yang ingin saya sampaikan. Dasar Apartheid di Afrika Selatan, runtuhnya tembok Berlin, perpecahan USSR dan Czechslovakia dapat dikaitkan dengan kisah yang ada dalam novel ini. Cuma pembaca lebih jelas SaiFainya tanpa dapat merasakan lapisan-lapisan lain yang ada dalam novel ini. Mungkin tiada siapa yang tahu kerana rata-rata pembaca muda tidak tahu apa yang berlaku kerana usia mereka masih muda atau belum pun wujud ketika dunia sedang berubah saat itu.

Dalam blog Cikgu, Cikgu menulis bahawa Kala Yuda dimulakan dengan pertanyaan: apa akan berlaku sekiranya saintis berjaya memanipulasi genetik dengan menggabungkan gen haiwan dalam gen manusia untuk melahirkan manusia super? Persoalan itu bergabung pula dengan kisah kehebatan manusia menguasai dunia teknologi nano. Apa yang menginspirasikan Cikgu untuk meneroka subjek-subjek ini?
Saya masih ingat ketika saya dan beberapa kawan guru sedang bertugas menjaga keselamatan pelajar-pelajar kami dalam perkhemahan perdana. Salah seorang sahabat baik saya bercerita tentang kejadian bintang-bintang bertawaf di dada langit. Saya benar-benar terharu apabila mengingatkan kisah ini kerana beliau sudah kembali kepada Penciptanya. Al-Fatihah untuk arwah. Dan saat itu saya mula berteori kerana kebetulan salah seorang dari kami adalah ustaz. Soalan saya mudah sahaja. Sains memungkinkan segala kejadian dan Allah SWT yang menentukannya. Andai kata suatu ketika nanti saintis mampu memilih gen yang terbaik demi mengelak lahirnya manusia yang lemah atau cacat. Kemudian gen manusia disatukan dengan gen haiwan untuk membentuk manusia yang kuat dan hebat demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ini berlaku? Ternyata soalan saya tidak mampu dijawab dan saya anggap ini adalah suatu teori yang baik untuk memulakan sebuah manuskrip. Itulah Kala Yuda.

Saya mula mengkaji tentang Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) dan terhibur kerana sindrom prodigious savant ini adalah suatu kecacatan dan bukannya keistimewaan. Bagaimana jika gen ini dicampuraduk dengan manusia yang sempurna? Bukankah hebat? Watak Zarina dalam Kala Yuda cuba mencampuradukkan gen manusia dan haiwan dan dia menerima hukuman dari Tuhan.

Dalam Kala Yuda juga saya membayangkan bagaimana suatu hari nanti manusia dikawal dengan cara menanam cip nano di dalam tubuh. Cip ini berfungsi menghantar isyarat kepada pihak berkuasa Jagat Raya dan memudahkan mereka mengawal rakyat mereka sendiri.

Benda-benda begini menjadikan saya asyik dan editor UPND sewaktu itu terpaksa bertanya saya untuk suatu tempoh panggilan telefon yang agak panjang. Dia menjadi keliru. Bagi diri saya jika editor juga terpaksa mendapat jawapan untuk persoalannya, apatah lagi pembaca. Saya menjadi asyik apabila menyeksa pembaca!

Satu lagi karya Cikgu yang tak kurang hebatnya adalah ID: Interdimensi. Dalam blog itu juga, Cikgu Amer menyatakan bahawa novel ID: Interdimensi bermula dengan idea spontan donut yang dimakan separuh di atas meja makan, seterusnya persoalan bagaimana sekiranya kita berjalan di atas donut itu dan mahu ke seberang sana untuk menyempurnakan satu bulatan. Kemudian ada pula kemasukan teori X dan Y (berkait dengan teori iluminati yang menyesatkan manusia dan melanggar fitrah), dan unsur penyelamat (Teori Messiah). Sekali pandang, terasa agak kompleks juga temanya. Mungkin Cikgu Amer boleh terangkan tentang novel ini dengan lebih ringkas?
IDinterdimensiKisah donut ini agak menginspirasikan dan sedikit lucu. Bayangkan jika anda menggigit donut dan tinggalkan separuh, bagaimana hendak ke bahagian yang masih tersisa di sebelah sana. Lalu muncul idea interdimensi. Teori ini secara mudahnya adalah kemampuan manusia merentasi alam yang berbeza atau masa yang berlainan dengan melakukan satu lompatan. Dalam ID, kemampuan ini sudah menjadi suatu perkara biasa sehingga wujudnya suatu dunia maya yang saya gelarkan Megalania. Ini bermakna jika anda berjalan di atas donut tadi (kembali kepada teori donut), untuk ke sebelah sana, anda tidak perlu membina jambatan. Cukup sekadar anda melakukan proses interdimensi untuk ke sebelah sana. Alam ini terlalu luas untuk dijelajah dan penjelajahan menajdi mudah sekiranya kita mampu melakukan interdimensi. Bukankah kita sering mendengar kisah-kisah kesufian para wali Allah yang mampu berada di dua tempat dalam masa yang sama? Yang berbeza hanyalah dalam ID: Interdimensi saya berbicara secara SaiFai dan dalam kejadian para wali itu sudah pasti ketentuan Allah yang tidak boleh kita tolak.

Teori X dan Y lebih kepada kewujudan generasi manusia yang dibangunkan oleh Douglas McGregor yang menceritakan tentang pertentangan antara manusia dari segi tingkah lakunya. Saya lebih berminat dengan generasi Indigo dan Kristal. Tuba mewakili indigo dan Uzo pula kristal.

Sejarah bukan sahaja mengkaji peristiwa yang telah berlaku, tetapi turut mengkaji peristiwa yang belum berlaku dan sudah pasti akan berlaku. Teori Messiah atau penyelamat adalah satu daripadanya. Perkara ini akan berlaku tetapi kita tidak tahu bila akan berlaku. Dalam Islam kita yakin suatu ketika nanti Nabi Isa A.S. akan turun ke bumi untuk menyelamat umat Islam dari fitnah Dajjal. Dalam ID: Interdimensi saya jadikan Eva sebagai penyelamat apabila mematikan sistem yang menghidupkan Megalania. Suatu kaedah mudah sebagai penamat kisah. Sesuai dengan judul ID: Interdimensi, saya tulis manuskrip dengan cara yang saya sendiri menjadikan pembaca terkeliru. Mungkin itu cara saya. SaiFai saya mesti mengelirukan pembaca. Entah kenapa saya pilih cara begitu.

Novel ID: Interdimensi telah mendapat maklum balas yang agak baik daripada peminat novel SaiFai Malaysia. Pada pandangan Cikgu, apakah kekuatan novel ini, dan apakah pengalaman manis semasa menulisnya?
Saya terkejut membaca kenyataan ini. Saya tidak tahu pun ID: Interdimensi mendapat reaksi begitu. Alhamdulilah. Agak sukar untuk menyatakan pengalaman manis ketika menulis ID: Interdimensi kerana untuk menulis novel kedua lebih sukar berbanding novel pertama. Saya khuatir terikut-ikut dengan cara dan gaya Kala Yuda. Cuma saya ingin katakan saya suka novel ini apabila menyuntik unsur-unsur retro dalam plot. Paling jelas ketika Phia dan Uzo bertemu dalam sebuah restoran makanan segera.

Kekuatan ID: Interdimensi mungkin terletak pada jalan ceritanya (plot) kerana jika dilihat plotnya bertindih-tindih seperti hilang panduan. Malah mungkin ada pembaca terkeliru yang mana satu latar semasa dan yang mana latar ketika interdimensi berlaku. Saya selalu membayangkan pembaca ID: Interdimensi rasa meluat dengan kisahnya, lalu melempar novel itu dan kemudian terasa ingin menghabiskannya. Bukankah itu suatu keseronokan?

~

Minggu hadapan: Cikgu Amer berkongsi tips untuk penulis muda bersaing di dalam dunia sayembara, rutin penulisannya, dan buku atau filem yang menginspirasikan karyanya. Nantikan!

Dapatkan novel Kala Yuda dan ID: Interdimensi dari laman web www.mybooks.com.my

Menulis SaiFai Ibarat Menjalankan Eksperimen Pemikiran

Salam,

Genre fiksyen sains ini sebenarnya bukanlah suatu genre yang hanya tertakluk kepada penceritaan berlatarkan futuristik atau bermain-main di medan angkasa.

Selain memaparkan teknologi canggih, cerita-cerita SaiFai juga boleh berkisar dan bermain-main dengan soalan-soalan “What if…?” atau “Apakah yang akan berlaku jika…?” dan jika penulis memikirkan dengan dalam soalan-soalan seumpama ini, mereka boleh sahaja menemui jawapan yang sangat menarik untuk dituang ke dalam cerita SaiFai.

Malayan_Union_protest

Apabila penulis bertanyakan kepada dirinya soalan seperti, “Apakah akan terjadi jika Malayan Union tidak pernah dibubarkan?” (sebagai contoh), ia akan membangkitkan beberapa soalan lagi yang perlu dijawab. Dari sini, kita mungkin pula bertanya, “Apakah yang terjadi dengan gerakan orang Melayu yang dipimpin Dato’ Onn Jaafar untuk menentang dengan keras pertubuhan Malayan Union?” Adakah mereka berjaya disenyapkan konco-konco Harold MacMichael yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kuasa sultan-sultan Melayu ketika itu?

Dalam suasana sebegini, mungkinkah Tanah Melayu dapat diberikan kemerdekaan pada tahun 1957? Kita putarkan jam dan anjakkan kalendar ke hadapan, dan sekarang kita lihat, apa pula rupa Tanah Melayu ini apabila sudah tiba tahun 2016? Sudah tentu ia akan sungguh berbeza daripada tahun 2016 yang kita kenali. Mungkin Malaysia tidak pernah ditubuhkan dan telah diganyang oleh Indonesia sama sekali. Mungkin juga ia berjaya ditubuhkan dan Brunei dan Singapura kini antara negeri-negeri di bawah persekutuan. Mungkin juga negara ini tidak diberikan kemerdekaan langsung dan masih di bawah pengaruh pihak British. Mungkin sultan-sultan yang dihalau keluar semasa zaman Malayan Union ditubuhkan kini sedang merancang tindakan menyerang dan mengambil semula Tanah Melayu dari kepulauan Seychelles.

Soalan-soalan seperti ini membolehkan kita membayangkan suatu sejarah alternatif untuk mencipta latar yang menarik dalam cerita seseorang penulis. Proses pemikiran seperti ini bolehlah kita namakan suatu “thought experiment” atau “eksperimen pemikiran” dan inilah proses yang membolehkan seseorang penulis itu mempersembahkan suatu cerita yang lain dari yang lain.

The_Man_in_the_High_CastleEksperimen pemikiran yang berkisar sejarah alternatif telah menginspirasi ramai penulis, daripada Philip K. Dick sehinggalah ke Faisal Tehrani. Philip K. Dick telah menulis sebuah novel bertajuk The Man in the High Castle di mana beliau telah menganjurkan situasi di mana Kuasa Paksi iaitu Jerman Nazi dan Imperialis Jepun berjaya menakluk Amerika Syarikat selepas memenangi Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat dibahagi tiga: pantai timur di bawah penguasaan Nazi, pantai barat di bawah pengaruh Jepun, dan kawasan-kawasan diantaranya menjadi sebuah negeri penampan (buffer state). Plotnya pula berkisar watak-watak yang merupakan rakyat biasa semasa tahun 1962, berdekad lamanya setelah peperangan tamat, menjadikan peperangan itu hanya satu memori pahit yang silam bagi watak-watak tersebut. Kini, novel ini telah dijadikan siri televisyen yang juga menarik untuk ditonton.

1515Dalam novel 1515 pula, Faisal Tehrani mengangkat soalan di mana Melaka tidak ditawan oleh pihak Portugis pada tahun 1511 dan sebaliknya, seorang srikandi muda berjaya mengumpul dan menaikkan semangat orang Melayu untuk bersatu menentang kuasa Feringgi yang sebenarnya tidaklah berapa kuat. Dan srikandi itu tidak berhenti di situ. Kejayaan menumpaskan pihak Portugis itu telah menaikkan semangat orang Melaka sehingga membolehkan mereka berlayar sehingga ke Eropah dan membawa peperangan ke pintu depan rumah Portugis sehingga mereka berjaya ditawan. Novel pascamoden ini diolah dengan menarik dan saya sangat gemarkan gaya dreamlikenya yang membuatkan kita tertanya-tanya, adakah ini semuanya betul-betul terjadi atau ia hanya suatu khalayan seorang sejarawan yang imaginatif?

Sudah tentu kita tidak perlu mengongkong soalan-soalan seperti ini kepada kisah-kisah sejarah alternatif sahaja. Boleh sahaja kita lihat tajuk-tajuk berita hari ini dan bertanya kepada diri kita, “Apakah akan terjadi jika kita membina tembok mengelilingi kedua-dua bahagian Malaysia untuk menghalang pendatang haram daripada berjaya masuk ke negara ini?” Sudah tentu ia menjadi sebuah distopia. Atau utopia. Atau kedua-duanya sekali! ia bergantung kepada perspektif watak yang diceritakan.

miso

Itulah nikmatnya menjadi penulis SaiFai. Awak boleh menentukan apa yang boleh terjadi dalam senario-senario seperti ini, dan menggunakan latar-latar ini untuk mengolah sebuah cerita yang amat menarik.

Boleh sahaja saya bayangkan dalam senario ini, nasi lemak telah dijadikan makanan yang wajib dimakan oleh rakyat setiap pagi untuk menunjukkan sifat patriotis kepada negara, tetapi mungkin terdapat seorang yang masih teringat-ingat kepada sup miso dari zaman kecilnya. Sup miso sudahpun diharamkan kerana menjadi simbol kapitalis dan imperialis dari Luar. Dalam senario negara yang mengalami xenofobia sebegini, di manakah watak itu boleh mendapatkan semangkuk sup miso? Mungkin di meja makan pemimpin-pemimpin yang telah mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sup miso itu. Mungkin. Contoh sahaja.

Menulis cerita SaiFai sebenarnya memerlukan kita sentiasa bertanya, “mengapa?”, “bila?”, “apakah?”, “bagaimana?”, tentang bermacam-macam di dalam hidup ini. Apabila ada yang bertanya soalan yang berbunyi, “Hei, di manakah awak mendapat idea untuk cerita-cerita awak?”, mereka seharusnya tahu bahawa idea sesuatu cerita itu terkandung di dalam jawapan kepada soalan-soalan yang ditanya dalam sesuatu eksperimen pemikiran.

Mungkin ada yang bertanya, adakah cerita-cerita sebegini merupakan SaiFai? Di mana sainsnya di dalam fiksyen sains seperti ini? Jawapannya, di dalam eksperimen pemikiran yang kami jalankan untuk mendapatkan cerita ini. Sains merupakan bidang di mana kita bertanya bermacam-macam soalan dan apabila kita bertanya soalan-soalan yang menarik di dalam eksperimen pemikiran kita, sebuah cerita SaiFai yang mengagumkan pembaca boleh terhasil.

Kebaikan SaiFai untuk Manusia Sejagat – Wawancara bersama Rahmat Haroun, Bahagian 2

Kita bersambung pada minggu ini wawancara bersama Bapa SaiFai Moden Malaysia, Dr. Rahmat Haroun, dengan bahagian kedua. Baca bahagian satu di sini.

GreatRahmat

Rahmat Haroun (Hashim), suatu nama yang amat agung dalam persada fiksyen sains Malaysia. Sebelum beliau, karya fiksyen sains hanya “dirasionalisasikan” sebagai suatu karya yang layak dalam genre pembacaan kanak-kanak dan remaja. Malah, novel sulungnya, Di.Ar.Ti (1989) disalah anggap sebagai “novel perubatan” oleh editor dan penerbitnya pada waktu itu.

Seorang pengarang yang juga berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan, Rahmat terus menghasilkan beberapa karya fiksyen sains lagi, termasuk dua yang dianggap “besar” dalam dokumentasi fiksyen sains tempatan, Manuklon (1991) (novel ini tidak dianggap sebagai fiksyen sains tetapi “futuristik” oleh penerbitnya) dan Hikayat Neogenesis (2005).

Malah Fitrah Kimiawi (2005) yang dianggap bergenre remaja dan berlegar dalam hal keremajaan, mempunyai ikutan peminat yang tersendiri, malah menarik pandangan baharu pembaca tempatan akan sejauh mana fiksyen sains dapat diadun dalam karya yang mengikut jejak minat pembaca kontemporari.

Rahmat bukan calang-calang orangnya. Beliau juga seorang pemikir dan memikir pelbagai persoalan sarwa masa hadapan dalam karyanya. Mungkin kerana ini juga, beliau sepatutnya diwartakan sebagai “Bapa SaiFai Moden” Malaysia.

Apakah karya SaiFai kegemaran Dr.?
Saya suka membaca karya Arthur C. Clarke, tetapi bukan naratifnya tetapi idea sains yang diketengahkannya. Saya lebih menggemari karya-karya Robin Cook kerana beliau seorang doktor seperti saya. Karyanya berkisar latar belakang sains perubatan dan hospital, seperti Coma, Chromosome 6, dan sebagainya.

Secara introspeksi, saya tidak nampak saya dipengaruhi atau terpengaruh dengan mana-mana karya. Dari segi pengkaryaan kreatif, DBP telah melantik Sasterawan Negara, Allahyarham Keris Mas sebagai mentor saya dulu.

desapingitanSaya sempat beberapa kali bertandang ke rumahnya sebelum arwah meninggal dunia. Kebetulan pula, anak Keris Mas kenalan saya yang juga seorang doktor. Untuk makluman saudara, sebenarnya, dahulu saya seorang pelajar sains yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu untuk SPM pada tahun 1968.

Saya menelaah novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar waktu itu, membaca cerpen-cerpen Keris Mas, mengkaji Misa Melayu, membaca hikayat Awang Sulong Merah Muda, epik Ramayana, dan pelbagai lagi teks bacaan wajib sastera ketika itu. Pendedahan awal inilah yang membentuk jiwa kepengarangan saya, dan bukan daripada pendedahan literari Barat.

Apakah yang penting sekali apabila Dr. hendak menulis?
Saya selalu memikirkan, bagaimana hendak membuka minda pembaca tentang kemungkinan merealisasikan suatu idea sains pada tahap aplikasi yang dapat mendatangkan kebaikan kepada manusia sejagat.

Dalam penceritaan, memanglah kita juga memerlukan unsur-unsur dijalini dalam cerita agar ia menghasilkan pemerian cerita yang akhirnya memenangkan keadilan putitik, agar barangkali, hala tuju sains dan teknologi sentiasa menuju kepada kebaikan.

terang bulanCeritakan sedikit pengalaman Dr. sewaktu sekolah dan universiti dan bagaimana hal ini membantu menemui “suara penulisan” Dr.?
Sebahagiannya terjawab dalam penjelasan sebelumnya. Di universiti, walaupun saya di Fakulti Perubatan di Indonesia, pelajar perubatan di sana rata-ratanya mendampingi sasterawan mereka. Golongan siswa sains gemar membaca dan mendampingi hasil karya sastera mereka. Hal ini dapat dibaca melalui memoir saya, Terang Bulan.

Apakah falsafah terpenting Dr. dalam penulisan?
Bagi saya, jika sekali pun ada falsafah yang perlu dijadikan panduan dalam penulisan SaiFai pada umumnya, maka ianya berupa falsafah penerokaan ilmu baru, penciptaan ilmu dengan penyelidikan dan eksperimen dalam kerangka merangsang pembaca untuk tahu danmabil tahu tentang kemajuan ilmu dan teknologi yang sentiasa pantas bergerak, membuka minda pembaca meneroka bidang-bidang sains baru.

Yang penting, kita perlu meneliti realiti kerjaya dan bidang kita sendiri dalam menerapkan kreativiti pembacaan pada jelmaan penerapan ilmu mutakhir lantas memberikan penyelesaian masalah kemanusiaan setempat mahupun sejagat. Penanaman semangat kreativiti dalam fiksyen sains merupakan benih yang mampu tumbuh dalam benak pembaca SaiFai untuk mencari solusi terhadap permasalahan yang bakal meningkat. Inilah martabat kemanusiaan pada peringkat yang tertinggi.

Jika merujuk karya saya pula, tidak ada falsafah tertentu yang dianuti, melainkan ianya ditulis secara holistik. Menganuti falsafah atau teori tertentu dalam penulisan kreatif seolah-olah membuat bingkai yang membatasi karya atau membina landasan yang tetap, sehingga destinasi karya akan berakhir pada noktah yang sama dalam semua karya. Kreativiti sepatutnya bernafas dalam pelbagai landasan dan suasana.

panggil aku melajuAda yang menyatakan, Panggil Aku Melaju merupakan suatu reaksi terhadap dasar PPSMI. Benarkah, atau Dr. ingin gerakkan suatu perkara yang lebih mendalam daripada itu?
Ya, benar. China dan Rusia membina roket tanpa bahasa Inggeris. Daya penciptaan dan kreativiti boleh dicapai melalui pelbagai bahasa. Bahasa Melayu dan bangsanya mempunyai jati diri yang kerdil. Panggil Aku Melaju merupakan satu satira yang membedah asal usul Melayu, suatu epik kembara bahasa yang berkembang dari zaman prasejarah hingga zaman kini, sewaktu generasi sekarang tidak lagi menghargai khazanah yang dituruni berabad lama.

Perlu diingat, penemuan rangka manusia tertua, Perak Man yang lebih tua secara carbon dating daripada usia Peking Man dan Java Man membuktikan bahawa Perak Man merupakan manusia awal yang keturunannya tersebar ke seluruh Nusantara. Kajian ini pun sudah disahihkan, digerakkan oleh USM dengan pengesahan saintifik oleh pihak autjorito Jepun.

Adakah SaiFai Malaysia harus hanya berbahasa Melayu, mengikut Dasar Kebudayaan Kebangsaan?
Tidak juga. Jika penulis SaiFai mahir menulis dalam bahasa Inggeris, maka dia tidak lagi terkongkong dalam kepompong “kebangsaan”. Karyanya sudah mendunia. Bagi saya, silakan, silakan menulis dalam apa-apa bahasa pun.

hikayat neogenesis

Saya ada menulis dan menterjemah Hikayat Neogenesis dalam bahasa Inggeris, berjudul The New Book of Genesis di blog saya, suatu wacana seni. Namun begitu, karya versi Inggeris itu tidak mendapat perhatian melainkan sejumlah kecil pengunjung.

Apakah bentuk fiksyen sains yang paling penting untuk penulis tempatan sekarang hasilkan?
Penulis fiksyen sains juga seorang pemikir, jadi pemikir fiksyen sains harus lebih pantas daripada saintis yang berpengetahuan semasa. Mereka harus lebih ke hadapan daripada pencipta teknologi baru.

Dalam kepengarangan, bentuk fiksyen sains yang dipilih merupakan hak istimewa si penulis. Jika ditekankan bentuk tertentu, hal itu akan membatasi pemilihan bentuk dan juga ruang lingkup penciptaan. Pada umumnya. Penulis fiksyen sains harus mendahului pemikiran para saintis. Untuk berbuat demikian, mereka harus memahami pemikiran sains selain menjadi seorang futuris.

Harapan Dr. untuk persada SaiFai Malaysia, baik berbahasa Melayu, Inggeris atau bahasa lain?
Bukanlah saya ingin bersikap pesimistik dengan karya SaiFai tempatan kita, namun dalam khalayak pembaca Malaysia yang mengecil dan terus mengecil, melainkan novel-novel romantik, harapan saya, agar ada pemilihan novel SaiFai sebagai teks dalam bahasa Melayu diperhebatkan lagi, perlu dipertimbangkan, terutamanya bagi teks KOMSAS untuk pelajar sains yang menduduki peperiksaan Kertas Bahasa Melayu.

Harapan saya yang lebih besar, semoga penghayatan karya SaiFai menjadi inspirasi kepada para pelajar sains merealisasikan penerokaan ilmu sains dalam penciptaan, yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dunia yang ada sekarang dan yang berkemungkinan pada zaman mendatang.

Adakah Kamu Seorang Pencipta?

shanghai

Tema SaiFai amat mencabarkan saya, bukan saja sebagai seorang penulis tetapi juga sebagai seorang pembaca. SaiFai adalah suatu genre yang hampir tidak wujud dalam kamus kehidupan saya.

Bukan kerana ianya suatu yang amat saintifik ataupun berunsur masa depan, tetapi imaginasi saya yang kurang peka dengan selok-belok teknologi yang semakin pesat dalam dunia hari ini. Saya pernah cuba membaca, bukan tidak pernah, tetapi saya lebih pantas membaca seimbas lalu kerana kerap kali terasa cerita SaiFai yang dipersembahkan terlalu dibebankan dengan fakta-fakta dunia masa depan yang cuba dilakarkan oleh penulis sehingga plot utama tenggelam dalam penulisan itu. Ada juga kemungkinan yang saya belum menemui sebuah cerita SaiFai yang baik dan memuaskan selera hati saya.

chinesesfmagSetiap kali memikirkan genre SaiFai, hanya satu nama yang muncul di benak: Ted Mahsun. Mungkin namanya kurang disebut oleh bibir komuniti pembaca dan penulis bahasa Melayu, tetapi beliau seorang penulis bahasa Inggeris yang berbakat dan dirinya amat peka dengan genre SaiFai. Ted Mahsun adalah seorang penulis yang pendiam dan rendah diri, tetapi minatnya pada SaiFai boleh dihidu dari beribu batu lagi. Jadi saya tunggu apa lagi? Terus saya mencungkil buah fikiran peminat SaiFai ini.

Cerita Ted, beberapa tahun yang lalu, dia menerima tugasan untuk menulis skrip filem tentang makhluk asing menakluki Kuala Lumpur. Kata penerbitnya, filem itu harus menarik minat penonton dari Hollywood dan negara China kerana dia ingin mendapatkan dana daripada kedua-dua negara itu. Ted peka dengan selera hati penonton Hollywood tetapi kurang pasti dengan penonton China.

Lalu diskusi bersama penerbit tentang definisi SaiFai dalam negara China berlanjutan lama. Semakin mendengar, semakin Ted merasa terkejut. Bukan saja orang China was-was dengan SaiFai, kerajaan mereka tidak memeluk SaiFai sebagai suatu yang berunsur baik. Di negara China, definisi SaiFai bergantung kepada tahap pendedahan yang dibenarkan oleh kerajaan mereka. Adakah mereka khuatir kepada kuasa dan pengaruh SaiFai dalam mengubah negara mereka?

Persoalan ini, yang dikeutarakan oleh Ted, menjamah pemikiran saya. Sebagai seorang penulis, saya selalu berpendapat karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis negara adalah suatu catatan sejarah buat generasi masa depan. Samada ianya berbentuk fiksi ataupun fakta, prosa ataupun puisi, penulisan adalah suatu saluran untuk merakam sejarah kehidupan. Setiap sejarah mungkin mengubah masa depan seseorang – dalam minda kecil saya, perubahan ini lebih berunsur individu dalam bentuk tumbesaran jati diri, emosi dan minda. Saya tidak pernah sama sekali memikirkan yang sebuah cerita fiksi mampu mengubah masa depan sejagat manusia, tetapi itulah yang tersemat dalam kepercayaan Ted Mahsun.

neilgaimanUntuk menyakinkan saya, Ted berkongsi sebuah esei mengenai genre SaiFai di China yang ditulis oleh penulis terkenal antarabangsa bernama Neil Gaiman. Pada tahun 2007, Neil Gaiman menghadiri konvensyen fiksyen sains dan fantasi yang pertama di China yang diluluskan oleh kerajaan China. Perasaan ingin tahu mengapa kerajaan China mengubah fikiran tentang SaiFai mendorongnya untuk menanyakan perihal itu pada salah seorang pegawai rasmi di situ. Dan ini jawabnya:

“Ianya amat mudah. Orang China amat cemerlang dalam penghasilan benda baru jika orang lain menunjukkan pelannya kepada mereka. Tetapi orang China tidak mencipta dan menginovasi; mereka tidak berimaginasi. Jadi mereka menghantar wakil ke Amerika Syarikat – ke syarikat dan jenama berjaya seperti Apple, Microsoft dan Google – untuk bertanyakan orang yang sedang mencipta masa depan mereka tentang diri mereka. Dan didapati kesemua pencipta ini pernah membaca SaiFai pada usia muda.”

Mereka tidak mencipta dan menginovasi – suatu ayat penampar buat kita semua di Malaysia. Seperti orang China, anak Malaysia juga pandai menghasilkan benda baru. Tetapi kita kurang mencipta atau menginovasi, kita lebih cekap menghasilkan semula apa yang orang lain sudah cipta. Ted berpendapat perihal ini turut benar dalam penghasilan karya SaiFai dalam negara kita; kebanyakannya sudah pernah dicipta oleh orang lain sebelum ianya dihasilkan semula oleh penulis Malaysia.

Mengapa begitu? Padahal kerajaan kita tidak mengongkong atau menyekat kita daripada menjadi pencipta. Mengapa kita redha menjadi seorang penghasil, dan bukan berusaha menjadi seorang pencipta?

Untuk menjadi seorang pencipta, kita harus peka dengan perkembangan dalam genre pilihan kita. Contohnya, SaiFai. Tidak cukup setakat menonton filem SaiFai, kita harus membaca cerita yang terbentang di luar sana oleh penulis serata dunia. Kita harus mengikuti perkembangan semasa dunia teknologi menerusi berita dan jurnal. Adakah kita sedang mencipta suatu dunia masa depan menerusi SaiFai ataupun masa depan itu sudah hadir dalam kajian semasa?

Seorang pencipta tidak menghasilkan sesuatu yang sudahpun dicipta; itu penghasil namanya. Seorang pencipta akan bersungguh-sungguh memikirkan idea baru yang tidak pernah diterokai oleh yang lain dan berusaha merealisasikan idea itu. Seorang pencipta akan melangkaui batasan imaginasi yang sedia ada dan mencipta suatu yang baru. Persoalannya, adakah penulis Malaysia seorang pencipta atau penghasil?

~

Rencana ini pernah diterbitkan di dalam zine Legasi Oakheart #8: Sai Fai:

saifai legasi oakheart

Kebaikan SaiFai untuk Manusia Sejagat – Wawancara bersama Rahmat Haroun, Bahagian 1

aRHH

Rahmat Haroun (Hashim), suatu nama yang amat agung dalam persada fiksyen sains Malaysia. Sebelum beliau, karya fiksyen sains hanya “dirasionalisasikan” sebagai suatu karya yang layak dalam genre pembacaan kanak-kanak dan remaja. Malah, novel sulungnya, Di.Ar.Ti (1989) disalah anggap sebagai “novel perubatan” oleh editor dan penerbitnya pada waktu itu.

Seorang pengarang yang juga berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan, Rahmat terus menghasilkan beberapa karya fiksyen sains lagi, termasuk dua yang dianggap “besar” dalam dokumentasi fiksyen sains tempatan, Manuklon (1991) (novel ini tidak dianggap sebagai fiksyen sains tetapi “futuristik” oleh penerbitnya) dan Hikayat Neogenesis (2005).

Malah Fitrah Kimiawi (2005) yang dianggap bergenre remaja dan berlegar dalam hal keremajaan, mempunyai ikutan peminat yang tersendiri, malah menarik pandangan baharu pembaca tempatan akan sejauh mana fiksyen sains dapat diadun dalam karya yang mengikut jejak minat pembaca kontemporari.

Rahmat bukan calang-calang orangnya. Beliau juga seorang pemikir dan memikir pelbagai persoalan sarwa masa hadapan dalam karyanya. Mungkin kerana ini juga, beliau sepatutnya diwartakan sebagai “Bapa SaiFai Moden” Malaysia.

diarti

Apakah yang membuatkan Dr. memilih untuk menulis Di.Ar.Ti? Menariknya, Di.Ar.Ti mempunyai persamaan tema dengan “datuk” novel SaiFai Inggeris, yakni Frankenstein; or The Modern Prometheus. Adakah ini tersengajakan?
Di.Ar.Ti ialah kod komputer, Death Reversal Technique. Idea ini timbul semasa saya berpeluang mengunjungi Mayo Clinic Rochester, Amerika Syarikat, sebuah bandar yang dibangunkan untuk memberi rawatan perubatan paling mutakhir kepada pesakitnya, yang pada waktu itu saya melawatnya pada tahun 1986.

Ketika itu, pesakitnya datang dari seluruh dunia, termasuk pesakit dari Malaysia yang saya iringi. Timbul pertanyaan sewaktu melihat kecanggihan tempat perubatan dan rawatan itu, apakah dapat dilakukan selepas kematian? Hanya Allah sahaja mampu membangunkan semula jenazah atau mayat atau orang yang sudah mati, namun pada minda penulis SaiFai, kalau ditakdirkan diberi tugas untuk merangka secara khayalan suatu kaedah untuk mengembalikan nyawa pada suatu kematian, bagaimana pula?

frankensteinJadi saya menggunakan pengetahuan semasa era 1980-an itu untuk “memulihkan” kematian. Terdapat berbagai aras kematian. Jika ada kaedah “fiksyen” untuk berbuat demikian, tentunya cukup menarik jika dijalini dengan penceritaan dan kandungan berlatar Malaysia dalam karya kreatif bahasa kebangsaan, yang secara kebetulan, penerbitnya juga sedang membuka horizon untuk penulisan kreatif di luar bidang tradisional dan konservatif, dengan tema sosial dan religo-sosial resif.

Berkenaan Frankenstein, hampir semua pengkaji bertanya soalan ini. Mengapa diulangi tema Mary Shelley yang menulisnya dalam konteks sains dan pengetahuan teknologi pada zamannya, yang hampir 150 tahun sebelum saya.

Ada ahli falsafah yang berkata, “Apa-apa yang telah difikirkan oleh anda, telah difikirkan oleh pemikir sebelum anda ratusan malahan ribuan tahun yang lalu”.

Cuma, idea lampau dapat diberi nafas baru dengan pencerahan pengetahuan baru atau warna dan latar belakang yang terkini. Menyedari itu, perasaan yang anda bakal didakwa meniru seolah-olah tidak mencipta idea yang sepenuhnya baru TIDAK timbul sama sekali. Kerana idea menghidupkan orang mati lebih besar daripada kisah Frankenstein itu. Malah persoalan kematian dan “melawan tabii alam” ini merupakan cabaran pada setiap saintis sepanjang zaman, apalagi pada masa kini yang membicarakan kemungkinan immortality.

Maka, tidak timbul rasa penurunan nilai kreatif, hanya atas dakwaan persamaan tema oleh penulis lampau. Idea itu sudah pun ditimbulkan ribuan tahun, dalam kebanyakan manuskrip suci lama.

Hanya dalam pandangan saya, kemampuan itu mutlak hak Tuhan masing-masing. Pemikiran resurrection bukan mutlak milik Mary Shelley. Hal ini pun termaktub dalam mitologi Yunani yang pada zaman mereka itulah kebenarannya. Sememangnya, “kebenaran manusiawi” berubah dengan zaman dan kuasa.

Saya setuju. Mungkin tradisi itu juga tertumpah dalam Wasiat Baharu Injil dalam kisah Jesus membangunkan semula Lazarus. Malah, begitu juga dengan Jesus sendiri. Sebenarnya, saya jauh sekali daripada menyatakan bahawa Di.Ar.Ti “meniru”, malah berkemungkinan inilah hasil interteks kita dengan memnyampaikan suatu tradisi yang sudah wujud berabad lama dan disampaikan dalam kefahaman dan acuan kita.
Benar. Banyak tradisi dunia yang sama sebenarnya dikongsi oleh kulit dan lidah yang berlainan. Tidak salah untuk kita interpretasi semula dengan pandangan dan kefahaman kita sendiri.

sentuhan oedipus

Sentuhan Oedipus merupakan sekuel Di.Ar.Ti. Namun mengapakah Dr. tidak menerbitkannya bersama-sama DBP?
Penyuntingan dan penerbitan DBP mengambil masa. Kebetulan pula, syarikat Khadijah Hashim (K Publishing Sdn. Bhd.) sedang mencari novel untuk diterbitkan. Sebagai penerbit dan editor, beliau lebih efisien dalam menyiapkan novel Sentuhan Oedipus.

Hikayat Neogenesis, boleh dikira suatu SaiFai yang jauh mempunyai tahap dan kelas yang tersendiri. Dr. tidak lagi melihat pada “cerita”, tetapi seperti penulisan pujangga lama dalam persuratan, melihat fenomena dan melakukan taakulan terhadap fenomena, dalam hal ini persenyawaan, penciptaan diri, dan makna roh dan jasad. Apa yang membuatkan Dr. menulis karya ini?
Dari masa ke semasa, DBP mengundang saya dan rakan-rakan penulis untuk menghadiri bengkel penulisan kreatif dalam pelbagai genre. Antaranya, ada yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemanusiaan USM. Juga didatangkan pembicara yang terdiri daripada Sasterawan Negara dan profesor dengan pengkhususan masing-masing.

hikayat neogenesisMereka memberi pendedahan ilmu yang relevan dalam upaya meningkatkan nilai tambah dalam pengkaryaan kreatif prosa mahupun puisi. Setiap peserta diharapkan (bersedia) mempunyai projek masing-masing, sama ada novel, antologi cerpen atau puisi. Saya memilih untuk menulis tema yang menggabungkan jalinan sains dan teologi.

Genesis manusia dan alam telah menghantui peradaban sejak manusia menyoal diri tentang kewujudan mereka, lalu secara kreatif, hipotesis mengandaikan hubungan kehidupan di langit dan bumi dengan mencipta kepercayaan; tuhan dan tuhanita, dewa dan dewi dan manusia suci di bumi (demigods), yang mampu berhubung langsung dengan penghuni mulia di langit selestial.

Dengan kepercayaan yang ditanam dalam minda manusia purbakala yang mampu membina tamadun mereka dalam pelbagai bidang, membangun infrastruktur, bertani-ternakan, sains ketenteraan, sistem kenegaraan dan ekonomi yang berkisar akan tuhan-tuhanita, menciptakan manusia pemikir yang lalu menciptakan kepercayaan yang bertukar menjadi agama.

Dengan berbekalkan pendedahan akademik sosiospirtual daripada penceramah-penceramah yang berbeza-beza latar belakang, saya mengambil kesempatan untuk menggabungkan pemerian wacana sains dengan nuansa agama-kepercayaan lampau (sebahagiannya sudah mati dan sebahagiannya masih mengamalkannya hingga kini) dengan evolusi tertinggi dalam pembentukan agama atau dengan kata lain, penurunan agama Ilahi.

Seorang penceramah bukan Islam telah memberikan pencerahan mengenai dunianya yang beliau sebut sebagai “Kafirdom”. Dunia kini empat per enam didominasi oleh Kafirdom yang menguasai dunia dan mencorakkan tamadun mendatang. Sayang sekali, dunia Islam berpecah dan menjadi boneka dan patung wayang daripada dalang Kafirdom yang cuba diketengahkan oleh salah seorang penceramah pada bengkel tersebut.

manuklon

Manuklon merupakan sebuah adikarya, sebuah karya fiksyen sains yang paling menarik kerana merangka suatu karya tempatan yang masih lagi relevan pada persoalan masa sekarang. Ceritakan bagaimana Dr. mendapat idea melahirkannya dan proses penciptaannya?
Saya setuju dengan saudara yang menganggap ianya relevan hingga sekarang. Meskipun ianya hanya sebuah karya SaiFai Malaysia tentang keberadaan Melayu-Islam pada zaman mendatang sekitar tahun 2098. Peminggiran manusia purist oleh manusia-klon (“manuklon”) adalah refleksi mendatang berdasarkan komposisi dan status sosioekonomi peribumi dan non-peribumi yang bakal mencorakkan persada politik pada akhir abad ke-21.

Nama watak-wataknya direka cipta atas entiti semasa yang sedia ada. Contohnya, MARDI menjadi Mardiah, DAP menjadi Daputin dan sebagainya. Dari aspek geopolitik, ancaman dari Selatan dapat dibaca dengan jelas.

Manuklon merupakan manifestasi hasil fiksyen akan kebimbangan saya tentang keberadaan manusia peribumi pada zaman mendatang, atau dalam lebih seratus tahun lagi. Melaluinya, perkembangan kejuruteraan genetik dan stem cell diterjemahkan dalam konteks kemanusiaan sejagat, dan tentunya juga buat kepentingan Islamik.

Jadi, dalam SaiFai Malaysia, sepatutnya, agama dan sains berpisah tiada?
Selagi penulis itu beragama Islam, dalam pengkaryaannya, dia perlu menjaga akidahnya. Keterlanjuran dapat mencabar institusi agama. Sains acuan Barat mencabar institusi agama mereka. Mereka tidak terikat dengan dogma-dogma keagamaan. Pendekatan liberal mereka itu justeru disenangi editor dan penerbit kerana khalayak pembaca SaiFai Barat rata-ratanya sekular.

Kerana keterikatan Melayu dan Islam yang begitu kukuh dan diperlembagakan di Malaysia, maka usaha untuk “memudahkan” unsur-unsur Islamik tidak wajar, malah bertentangan dengan dasar dan budaya teras Malaysia, melainkan ditulis dalam bahasa Melayu oleh penulis bukan Islam, maka dia tidak terikat dengan nilai-nilai Islam itu.

Contohnya, seorang Iban beragama Kristian yang menulis SaiFai dalam bahasa Melayu. Secara sedar, dia tidak terikat dengan keislaman atau hal-hal berkenaan agama Islam. Untuk melepasi editornya, seseorang yang beragama Islam mesti melihat pada sensitiviti dalam karyanya. Jika sensitiviti itu tetap ada, ia akan menjadi bahan suntingan editor untuk membolehkannya diterbitkan untuk bacaan umum di Malaysia.

~

Nantikan bahagian seterusnya Wawancara bersama Rahmat Haroun pada minggu hadapan di mana penulis berbicara tentang SaiFai Malaysia berbahasa Melayu, karya kegemarannya, dan penulisan SaiFai.

Kepentingan Latar Dalam Cerita SaiFai

Salam,

Bagi sesetengah cerita SaiFai, latar itu sepenting jalan ceritanya, malahan kadangkala latar dalam sesetengah cerita menjadi begitu penting sehingga latar itu boleh juga dianggap sebagai suatu watak yang penting.

sandworm

Ingat tak novel Dune (1965) yang ditulis Frank Herbert? Ceritanya berkisar sebuah planet yang diliputi padang pasir di mana manusia menjalankan penuaian Spice. Spice dianggap sumber yang penting kerana ianya dihadam pemandu kapal angkasa untuk bertahan semasa perjalanan jarak jauh.

Planet ini dipanggil “Arrakis” atau nama gelarannya, “Dune”. Novel ini hampir keseluruhannya mengambil tempat di Dune dan Herbert menonjolkan keganjilan dan keistimewaan yang terdapat di planet itu (contohnya Sandworms dan kaum Fremen yang menunggang Sandworms tersebut) dengan begitu menarik sekali sehingga kita sebagai pembaca terasa seperti berada di sana dan turut merasai keterikan dan kedebuannya yang tak terhenti-henti. Ini menyebabkan kita teringat-ingat kepada Dune, iaitu latar dalam novel ini, sebagaimana kita teringat-ingat kepada watak-watak utamanya seperti Paul Atreides dan Baron Harkonnen selepas selesai membacanya.

tatooine

Cerita-cerita SaiFai banyak memaparkan latar seumpama latar Dune. Malah, khabar angin mengatakan George Lucas telah menciplak idea sebuah planet padang pasir dan menjadikannya salah satu latar yang penting dalam filem Star Wars yang pertama, Star Wars: Episode IV – A New Hope (1977), iaitu Tatooine, planet kampung Luke Skywalker.

Dalam filem itu turut dinyatakan lagi bahawa salah satu kargo yang pernah dibawa Han Solo dalam kapalnya, Milennium Falcon, ialah “rempah ratus” atau “spice“. George Lucas kemudian membawa idea ini ke hadapan lagi dan memperkenalkan sebuah planet salji, sebuah planet paya, dan juga planet hutan.

gitshongkong

Tetapi tak semua karya SaiFai terletak di tempat-tempat yang jauh tersebar luas di cakerawala. Sesetengah karya SaiFai terletak berhampiran dengan kita. Bandaraya sentiasa dijadikan latar yang tidak dapat dilupakan.

Misalnya filem Ghost in The Shell (1995), arahan Mamoru Oshii, terletak di bandar yang mungkin Tokyo pada masa hadapan tetapi jelas sekali latarnya bukan di Jepun seperti kita mula-mula sangka (kerana ianya filem anime Jepun) tetapi sangat-sangat dipengaruhi Hong Kong, terutamanya daerah Kota Berdinding Kowloon, sebuah “kota di dalam kota” yang kini sudah dirobohkan.

Jelas pengarah filem ini sangat terinspirasi oleh “keistimewaan” sebuah “kota di dalam kota” ini sehingga dia menggunakannya sebagai latar dalam filemnya. Kita dapat lihat betapa sempitnya jalan di dalam kota Kowloon itu dan walaupun ia diselubungi kekotoran dan kemunduran, terdapat juga mereka yang berjaya menjadikan tempat itu sebagai tempat tinggal dan tempat perniagaan.

Filem-filem anime Jepun memang gemar memaparkan bandaraya sebagai latar yang menarik. Saya juga teringat kepada Tokyo 2019 yang muncul di dalam Akira (1988) arahan Katsuhiro Otomo atau Laputa, bandar yang terapung-apung di langit daripada filem Castle in The Sky (1986) arahan Hayao Miyazaki. Kedua-dua bandar itu juga terbenam dalam ingatan saya walaupun sudah bertahun sejak kali terakhir menonton filem-filem itu.

transgeniksifar

Contoh lagi satu karya yang berlatarkan tempat di planet Bumi ini, malah di bawah permukaan laut, ialah Transgenik Sifar (2015) yang ditulis oleh Sri Rahayu Mohd Yusop. Saya sangat sukakan novel ini dan ia memang berhak mendapat tempat nombor satu yang dimenanginya dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan yang lepas.

Ia adalah cerita yang sangat intimate dan personal tetapi apa yang saya teringat-ingat selepas menghabiskan novel itu adalah latarnya yang memaparkan dunia yang ditenggelami laut. Sri Rahayu berjaya menceritakan betapa susahnya manusia berusaha untuk meneruskan kehidupan di bawah laut dan bagaimana mereka terus menyesuaikan diri kepada perubahan alam sekitar yang berlaku kepada mereka.

Jadi selaku seorang penulis SaiFai, fikir-fikirlah tentang pentingnya latar dalam cerita anda. Mungkin juga latarnya boleh dihidupkan dan dijadikan sesuatu yang membuat pembaca semakin tertarik dengan cerita anda. Tak semua cerita SaiFai mementingkan latar. Itu tak mengapa; kerana lain cerita, lain sifatnya. Kebanyakan cerita saya pun tidak berapa memberi tumpuan kepada latar.

Tetapi bagi mereka yang menulis cerita SaiFai yang menggunakan sesuatu tempat yang menarik, ambillah kesempatan itu untuk menumpukan sedikit perhatian kepada latar, bangunkan betul-betul supaya latar itu terperinci dan menarik. Jika dilakukan dengan baik, pembaca akan teringat-ingat dengan latarnya sebagaimana mereka teringat-ingat watak-watak yang memenuhi cerita SaiFai anda.

(Watak anda perlu juga menarik, tapi itu cerita lain untuk hari yang lain. Dan jangan lupa plot, itu harus menarik juga kerana plot itu tulang belakang sesuatu cerita. Tiada plot, tiadalah cerita.)

SaiFai Tetap SaiFai – Wawancara bersama Sri Rahayu Mohd Yusop

SAMSUNG CSC


Sri Rahayu Mohd Yusop bukanlah calang-calang. Dalam dunia SaiFai kita, beliau bolehlah disamai dengan keprolifikan Ursula K. Le Guin kerana kedua-duanya sudah banyak menyumbang dalam karya berbentuk fantasi (Sri Rahayu untuk Bukan Legasi Lalang, Odisi Tanah Kencana) dan fiksyen sains, malah kekuatan kedua-duanya adalah daripada penguasaan bahasa yang sangat ekspresif dan bertaakul tinggi, walaupun Rahayu lebih banyak memilih jalan mencipta watak dan latar dalam kebiasaan dunia SaiFai remaja. Rahayu juga amat dekat dengan kesusasteraan, dan hal ini dibuktikan apabila novel kontemporari beliau, Qalam Kalbu (2013) memenangi novel terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

QalamKalbu

Wawancara ini mendedahkan jalan dan cabaran Sri Rahayu dalam meniti genre yang selalu disalah anggap tidak sesuai untuk golongan wanita dan penulis wanita dengan meletakkan kakinya teguh pada peta perkembangan dan sejarah SaiFai Malaysia.

Puan Sri kiranya, menjadi penyambung kesinambungan penulis SaiFai wanita yang jarang-jarang hendak menceburi bidang ini, seperti Cecilia Chin pada era 1980-an dan Lamia Aimal pada era 1990-an. Setujukah kalau dikatakan, SaiFai ini masih genre budak lelaki?
Benar. SaiFai di Malaysia masih genre budak lelaki. Mula-mula saya mahu katakan tidak, tetapi saya khuatir yang penulis wanita yang menulis SaiFai sekarang tidak akan istiqamah menulis dalam genre ini.

Satu novel SaiFai dan kemudian, senyap atau terus bersara, sedangkan untuk membina portfolio SaiFai itu memerlukan beberapa novel atau beberapa karya dalam pelbagai bentuk dalam SaiFai, dan perkara ini mengambil masa bertahun-tahun, malah berdekad-dekad lamanya.

Sedangkan penulis-penulis lelaki berjaya membina portfolio yang agak mantap dan istiqamah, paling singkat dalam masa lima tahun. Sebenarnya, saya bercakap tentang apa yang mungkin akan berlaku kepada diri saya. Saya takut saya tiada berupaya untuk terus berkarya dalam SaiFai.

Apakah yang menjadi pendorong utama Puan Sri menceburi genre SaiFai?
Bagi saya, genre SaiFai ialah genre yang paling banyak bahan rujukan kerana penemuan sains dan fakta saintifik didokumentasikan dengan baik di Internet. Sains tidak akan pernah lapuk. Ia akan sentiasa relevan selagi manusia berhubung dengan alam, Tuhan dan sesama manusia. Saya berasa rugi jika saya tidak memanfaatkan sumber yang sebegitu banyak dan berada di hujung jari.

Tetapi sebenarnya, saya memang terlalu minat pada sains. Saya anak pesawah, tapi bapa saya ada ensiklopedia dinosaur, ensiklopedia astronomi, dan ensiklopedia kenderaan. Bapa saya melanggan majalah Insight dan Plain Truth (majalah agama Kristian yang juga membincangkan sains), dan saya disuruh baca bahan-bahan ini.

Benda itu, ada dalam diri saya walaupun saya tidak melakukan pembacaan yang luas dalam karya SaiFai itu sendiri. Saya hanya menunggu peluang untuk menulis SaiFai sedang saya menulis karya bertemakan warisan atau sejarah selama bertahun-tahun. Syukur alhamdulillah, masa itu sampai jua.

jurassicpark

Novel SaiFai pertama yang Puan Sri baca ialah?
Jurassic Park oleh Michael Crichton. Tahun 1994. Saya kerja kilang selepas tamat Tingkatan 5 dari Sekolah Tun Fatimah. Saya beli novel itu dengan gaji pertama saya.

Puan Sri mengajar bahasa Inggeris, dan amat dekat dengan kesusasteraan Inggeris dan kenal drama Shakespeare. Bolehkah dikatakan, pendedahan ini yang membawa pada penciptaan karya Puan Sri?
Ada benarnya. Karya Shakespeare yang utama, saya tidak baca semua, hanya tiga yang saya boleh hafal dialognya – Romeo & Juliet, Hamlet dan Macbeth mengajar saya tentang penggunaan masa untuk penceritaan.

Hal ini yang menyebabkan novel-novel saya amat pendek kerana saya terpengaruh dengan format drama pentas. Saya mahu sebab dan musabab muncul dalam babak yang sama kalau boleh.

Siapakah penulis SaiFai (luar negara) yang Puan Sri kagumi?
Ray Bradbury, Michael Crichton, Isaac Asimov (cerpen-cerpen beliau sahaja, kerana saya tak berdaya membaca novel beliau) dan Kazuo Ishiguro kerana novel Never Let Me Go.

Jika menulis novel SaiFai, apakah perkara pertama yang terlintas dalam kepala Puan Sri sebelum mula menulis?
Protagonis yang mencari siapa dirinya dalam keadaan yang kacau-bilau. Saya bermula dengan satu watak, seorang insan yang keseorangan dalam dunia yang porak-peranda atau dia tidak fahami.

Persekitaran, isu, idea dan ideologi, semua itu adalah pentas dan wahana yang akan membawa protagonis kepada dirinya yang sebenar.

Boleh senaraikan kesemua novel SaiFai Puan Sri?

  1. Impuls/Roh (Utusan Publications & Distributors,2010)
    impuls-roh
    Impuls/Roh merupakan respons saya terhadap filem The Matrix. Saya berpendapat, kesedaran manusia tidak boleh dimanipulasi secara terus kerana ia dimiliki oleh roh yang dimiliki oleh Allah. Kesedaran hanya boleh dimanipulasi melalui deria dan ia boleh berlaku jika manusia mengizinkan ia berlaku terhadap dirinya dengan mengambil dadah, atau dipukau.
  1. Equilibria (Utusan Publications & Distributors,2012)
    Equilibria
    Equilibria ialah hasil perasaan saya yang terkesan dengan sikap manusia yang suka membazir lalu saya membayangkan bagaimana jika semua benda yang kita puja dan inginkan akhirnya membawa kepada kemusnahan alam sekitar? Saya menerima kenyataan yang novel ini hanya layak memenangi tempat kedua kerana ia tidak tamat secara full circle. Saya mendapat inspirasi menulisnya daripada siri televisyen Lost.
  1. Transgenik Sifar (Utusan Publications & Distributors,2015)
    transgeniksifar
    Saya berniat untuk meniru Never Let Me Go oleh Kazuo Ishiguro apabila menulis Transgenik Sifar. Tetapi sudah tentu hal itu tidak sampai tahapnya. Tetapi kerja itu menjadi sesuatu yang lain pula. Saya mendapat ilham daripada cerita pari-pari, The Little Mermaid dengan versi ikan duyung yang akhirnya menjadi bebuih di lautan.

Novel SaiFai manakah yang paling mencabar?
Transgenik Sifar kerana saya cuba bangkit daripada kualiti Equilibria yang tidak berapa menjadi.

Apakah ada satu-satu alat, seperti kamus yang Puan Sri rasa sangat berguna untuk penulis SaiFai kita?
Internet. Saya menulis dengan Internet terpasang dan ia tidak mengganggu bahkan membuatkan proses kerja saya pantas kerana saya boleh buat pengiraan serta rujukan yang cepat dan mudah dengan bantuan Internet.

Melihat pada perkembangan karya SaiFai sekarang, Puan Sri rasa ada peningkatan?
Perkembangan genre SaiFai di Malaysia sekarang sangat menggalakkan. Bukan sahaja dalam bahasa Melayu, malah dalam bahasa Inggeris dan dalam pelbagai jenis penerbitan. Apatah lagi apabila orang-orang muda dalam lingkungan 20-an dan 30-an yang berfikiran terbuka dan kritis kini menulisnya. Bagi saya, genre SaiFai bukanlah untuk penulis yang terlalu tua dan perkembangan ini adalah sesuatu yang segar dan mengujakan.

Apa lagi yang perlu diterokai oleh para penulis SaiFai kita?
Penulis SaiFai perlu menguasai cara untuk menyampaikan ilmu sains supaya boleh difahami oleh orang yang tidak minat dengan sains atau SaiFai. Satu lagi, penulis SaiFai perlu bersedia menulis perincian teknologi secara mikro, namun tanpa membosankan pembaca.

Dari segi kandungan, bolehkah dikatakan, persembahan dan tema karya SaiFai sekarang meninggalkan SaiFai era 1980-an? Jika kita lihat pun, pada era 1970-an dan 1980-an, SaiFai dikategorikan sebagai “pembacaan remaja peringkat rendah dan kanak-kanak” atas populariti drama televisyen era itu (Star Trek, The Time Tunnel, dan Batman, contohnya) di Malaysia, dan seakan-akan, Rahmat Haroun merupakan seorang yang cuba mengubah persepsi pembacaan pada masa itu, bahawa SaiFai boleh dinikmati oleh pembaca dewasa. Adakah transisi ini sudah lebih jelas sekarang, atau kita masih pada takuk “pembacaan ringan”, kerana karya SaiFai selalunya dicalonkan dalam kategori karya remaja, seperti dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, contohnya?
Saya rasa kita sudah mempunyai SaiFai Malaysia yang sudah berada pada tahap dewasa. Namun begitu, jika ada penulis yang membawanya sebagai peringkat remaja, hal itu adalah pilihan penulis sendiri kerana kekangan kategori sayembara misalnya (dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan misalnya).

Tetapi kebanyakan SaiFai yang diterbitkan oleh penerbit lain memang sudah berada pada tahap dewasa umum. Dan yang bagusnya tentang SaiFai ialah, sama ada ia untuk remaja atau umum, ia tetap SaiFai.

SaiFai bersesuaian dengan konsep inovasi. Bagi Puan Sri, yang mana lebih utama, inovasi atau kreativiti?
Saya penyokong inovasi kerana saya berpendapat, semua benda yang perlu dicipta (create) telah pun diciptakan. Yang berlaku sekarang adalah memajukan teknologi yang telah tercipta kepada bentuk yang lebih cekap.

Dan saya percaya, benda-benda yang tidak boleh tercipta tidak akan tercipta, contohnya mesin masa dan mesin pembaca minda. Peliknya, saya percaya mesin pembuka portal ke alam lain boleh dicipta.

Peliknya, novel SaiFai hangat di pasaran luar negara. Kini, China dan India juga sedang menampakkan potensi besar dalam pasaran karya SaiFai tempatan. Kenapa Malaysia tampak kurang mendapat sambutan? Adakah pelajar kita bermasalah?
Pelajar kita tidak bermasalah. Orang dewasa kita yang sebenarnya bermasalah. Orang dewasa yang sepatutnya membekalkan pelajar kita dengan bahan-bahan yang menyediakan mereka menjadi saintis atau orang yang boleh berfikir secara saintifik.

Saya tidak anggap siri francais filem, termasuklah The Hunger Games, Divergent, Maze Runner, The Fifth Wave, dan The 100 sebagai SaiFai. Tetapi jika remaja di Barat didedahkan kepada cerita-cerita sedemikian (yang berbau SaiFai dan membawa isu bertahap global) secara besar-besaran melalui filem dan televisyen, sedangkan remaja kita didedahkan dengan kisah-kisah masalah domestik, romantik secara agresif melalui filem dan televisyen, akan berlaku jurang pada tahap hasil karya generasi yang sama pada tempat yang berlainan pada masa hadapan.

Falsafah tersendiri Puan Sri akan karya SaiFai?
SaiFai ialah kisah tentang hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia, dan hubungan manusia dengan alam. Ia semudah itu. Yang lain-lain, landskapnya, masanya, teknologinya, adalah perhiasan yang memberi kita rencah rasa SaiFai, seperti yang telah dibiasakan oleh para pemula genre ini.

Harapan Puan Sri untuk SaiFai kita?
Agar penulis muda kita sekarang yang berusia dalam lingkungan 20-an berkarya pada waktu muda dalam SaiFai akan terus berkarya sampai dua hingga tiga dekad lagi.

Kadangkala, kita mengkritik penulis (yang menghasilkan karya SaiFai) yang berada dalam usia persaraan, tetapi kita perlu karya yang baik untuk menggantikan karya yang tidak menepati piawaian. Penulis muda, diharapkan dapat muncul dan ambil tempat anda untuk mengisi kekosongan ini.

~

Dapatkan novel Transgenik Sifar dan Equilibria dari laman web www.mybooks.com.my

Perbanyakkan Pembacaan Cerita Fiksyen Sains

Salam,

Dalam rencana “10 Perkara Yang Anda Kena Tahu Sebelum Masuk Sayembara SaiFai” yang diterbitkan di Pena SaiFai beberapa minggu lepas, Fadli al-Akiti mengingatkan kita dalam perkaranya yang terakhir bahawa kita perlu “baca, baca, dan baca” jika ingin menjadi seorang penulis fiksyen sains.

Yang ini penting kerana pada pendapat saya, kita sebagai penulis fiksyen sains Malaysia terlalu taksub dengan fiksyen sains berupa filem-filem dan rancangan-rancangan televisyen sehingga kita lupa, atau tidak sedar, atau tidak tahu langsung, bahawa sebenarnya konsep-konsep fiksyen sains di dalam filem atau rancangan televisyen adalah lapuk atau terlalu mudah seperti memperbudak-budakkan penonton, dan sebenarnya ini, bagi seorang peminat fiksyen sains yang tegar (seperti saya), sangat membosankan.

Genre fiksyen sains sering dianggap sebuah genre yang hanya sesuai untuk remaja dan ini kita boleh lihat apabila buku-buku fiksyen sains disusun di rak-rak bahagian remaja di dalam toko-toko buku atau di perpustakaan. Anggapan ini tidak salah. Genre fiksyen sains sebenarnya memang sesuai dihadam oleh remaja. Seorang penulis fiksyen sains bernama Peter Graham kononnya pernah berkata bahawa, “Zaman emas untuk seseorang itu berjinak-jinak dengan fiksyen sains ialah pada umur tiga belas tahun.”

C-3PO

Tetapi kita harus ingat, remaja tidak akan kekal remaja selama-lamanya. Seseorang yang meminati fiksyen sains sejak dia di bangku sekolah sudah tentu akan bosan apabila mencapai umur dewasa dengan plot-plot mudah yang sama yang menonjolkan kapal angkasa yang dengan senang-senang boleh bergerak dengan kelajuan cahaya tanpa mengambil kira kesan dilasi masa dan kemudiannya boleh pula melompat dari satu hujung galaksi yang lain ke hujung galaksi yang lain. Perjalanan merentasi angkasa yang ditonjolkan filem seolah-olah mudah seperti menunggang motor untuk pergi beli burger di gerai depan 7-11!

Untuk mengekalkan minat seorang peminat fiksyen sains hingga ke umur dewasa, kita perlu menulis jalan cerita yang sesuai untuk dewasa iaitu cerita yang membawa plot dan konsep yang lebih kompleks.

Masalahnya kini, banyak cerita fiksyen sains yang saya baca sangat terpengaruh dengan plot-plot dan konsep-konsep mudah yang dibawa oleh cereka fiksyen sains di filem dan televisyen. Ya, saya tahu. Star Wars, Star Trek, Transformers dan sebagainya memang cool. Ia cool sebab ia menggunakan efek visual untuk mengghairahkan penonton. Itulah kelebihan sebuah medium penceritaan visual.

Matrix-VFX

Tetapi sebagai penulis novel atau cerpen fiksyen sains (kalau kamu seorang penulis skrip fiksyen sains, maaf, pintu keluar di situ. Kamu salah masuk kelas), kita tidak mempunyai kelebihan visual itu. Kita perlu menarik perhatian pembaca dengan cara yang lain. Kita tidak punya efek visual untuk melalaikan pembaca kita supaya melupakan plot-plot yang mudah dan tak berapa kompleks.

Oleh itu, sebagai penulis novel dan cerpen, kita perlu mempersembahkan kepada pembaca kita plot-plot yang lebih menarik, berbeza daripada apa yang ditayangkan di filem. Kita perlu menggagaskan konsep-konsep yang lebih mencabar minda kerana dalam sebuah novel memang ada ruang untuk memperkembangkan konsep-konsep sebegitu.

Dalam esei “SaiFai Mencerminkan Semangat Zaman,” saya memperkenalkan sebuah novel bertajuk The Forever War. Apa yang menarik di dalam novel itu ialah pengarangnya, Joe Haldeman, telah mencerita bagaimana sukarnya untuk merentasi angkasa sehingga satu pertempuran dengan pihak musuh boleh berlanjutan beratus-ratus tahun hanya kerana perjalanan ke medan pertempuran itu mengambil masa yang sangat lama.

Joe Haldeman_1974_The Forever War

Haldeman menekankan bahawa angkasa itu sangat, sangat luas dan jika ada pacuan sepantas cahaya sekalipun, perjalanan dari suatu sistem suria ke suatu sistem suria yang lain boleh mengambil beberapa jangkahayat. Perlu diingatkan, novel ini ditulis sebelum filem Star Wars ditayang di panggung wayang dengan jalan ceritanya yang ringkas dan padat, berbeza sekali daripada novel The Forever War.

Tapi ini bukan bermakna Star Wars adalah cerita yang membosankan. Apa yang saya mahu sampaikan di sini ialah, medium filem terhad apabila menyampaikan cerita dan konsep fiksyen sains manakala dengan sebuah novel seperti The Forever War, sebuah cerita yang lebih kompleks dapat digarap.

AncillaryJustice

Saya bagi satu lagi contoh, tetapi kali ini sebuah novel yang lebih baru, iaitu Ancillary Justice karangan Ann Leckie yang diterbitkan pada tahun 2013. Novel ini telah memenangi bermacam-macam anugerah iaitu Hugo Award, Nebula Award, Arthur C. Clarke Award, BSFA Award, dan juga Locus Award. Ini bukan calang-calang anugerah. Anugerah-anugerah ini adalah antara anugerah terbesar dalam dunia kesusasteraan fiksyen sains Barat.

Sebab mengapa Ancillary Justice begitu dikagumi pembaca dan pengkritik ialah kerana novel itu membawa konsep baru yang menarik dalam dunia fiksyen sains iaitu watak utamanya merupakan seorang kepintaran buatan sebuah kapal angkasa bernama Breq yang berkongsi kesedaran yang sama dengan berpuluh-puluh anak kapal suruhannya serta juga kapal-kapal pejuangnya. Setiap anak kapal dan kapal pejuang ini adalah sebahagian daripada “roh” atau kesedaran yang dimiliki kepintaran buatan kapal angkasa ini.

Plotnya pula mudah tetapi menarik. Apa akan terjadi jika kepintaran buatan ini dikhianati, dan “badan” kapal angkasanya dimusnah bersama-sama anak-anak kapal dan kapal-kapal pejuangnya, kecuali seorang anak kapalnya yang berjaya terselamat? Oleh kerana setiap anak kapal berkongsi kesedaran yang sama, dia seorang sahaja yang kini “mewakili” kepintaran buatan bernama Breq itu dan memikul tanggungjawab untuk mencari siapakah dalang di sebalik pengkhianatan itu.

Tetapi bukan itu sahaja yang telah membuat peminat tegar fiksyen sains begitu ghairah dengan novel ini. Dalam olahan plotnya, Leckie juga telah bermain dengan batasan bahasa dan komunikasi. Oleh kerana bahasa Inggeris mempunyai dua kata ganti nama, maskulin dan feminin, Leckie telah memilih untuk hanya menggunakan kata ganti nama feminin iaitu “she” dan “her” sebagai kata ganti nama yang wujud dalam dunia yang diciptanya itu. Ini membangkitkan bermacam-macam persoalan tentang jantina dan seksualiti dalam novelnya yang jarang dibangkitkan di dalam mana-mana karya fiksyen sains justeru membolehkan Leckie mengolah sebuah novel yang sangat segar dan unik.

tedchiang

Cerpen juga tak ketinggalan dalam membolehkan penulis membawa gagasan yang kompleks dan menarik. Kita ambil contoh cerpen-cerpen terkemuka Ted Chiang. Beliau seorang cerpenis yang hanya menghasilkan sebuah cerpen setiap beberapa tahun, tetapi setiap kali cerpennya tersiar, beliau akan sapu semua anugerah fiksyen sains.

Chiang terkenal dengan fiksyen sainsnya yang sangat berkhususkan sains tetapi beliau mengolah ilmu sainsnya itu menjadi cerita yang sangat unik dan mengagumkan. Baca sahaja cerpennya bertajuk Exhalation, ataupun cerpen The Merchant and the Alchemist’s Gate, dan awak akan sedar betapa hebat karangannya dan olahannya yang berbaur sains berjaya menjadikan cerita yang amat menarik.

Dalam Exhalation, Chiang berjaya mengolah sebuah cerita yang berkisar automaton yang menggunakan gas argon untuk bernafas dan juga berfikir. Tetapi tekanan udara dalam dunia itu semakin berkurangan dan tanpa tekanan udara dalam dunia, automaton tersebut tidak dapat berfikir lantas mereka perlahan-lahan hilang keupayaan kesedaran mereka.

Cerpen The Merchant and Alchemist’s Gate pula sebuah cerita tentang perentasan masa yang diilhamkan Hikayat 1001 Malam dan mengambil kaedah penceritaan yang sama seperti yang digunakan Scheherezade iaitu sebuah cerita di dalam cerita di dalam cerita.

Jika mampu, carilah juga antologinya yang sulung, The Story of Your Life and Others, dan hadamnya baik-baik kerana di dalam buku itu terdapat cerpen fiksyen sains yang terbaik pernah saya baca.

Contoh-contoh yang saya sebutkan ini semuanya novel-novel atau cerpen-cerpen dari Barat. itu tidak bermaksud seorang penulis fiksyen sains hanya perlu berufukkan fiksyen sains Barat sahaja.

Jangan ketinggalan membaca fiksyen sains dari benua-benua lain. Sebagai contoh, cubalah Cixin Liu, pengkarya dari China yang sedang popular dengan novelnya The Three-Body Problem; atau Gene Mapper, sebuah novel tentang pengubahsaian genetik makanan karya Taiyo Fujii dari Jepun; atau Binti, sebuah novel oleh Nnedi Okorafor, pengkarya dari Nigeria, tentang seorang gadis daripada suatu sukukaum yang tertindas yang berjaya mendapat tempat untuk menuntut kajian di salah satu universiti terbaik di dalam galaksi ini; atau awak boleh juga cuba membaca fiksyen sains dari rakan-rakan serantau kita dengan buku antologi cerpen-cerpen steampunk, The SEA is Ours, yang diselenggara oleh Jaymee Goh dan Joyce Chng.

Dunia ini luas dan dipenuhi dengan buku, apatah lagi buku fiksyen sains. Cari, dapat, hadam, dan perolehilah ilham daripada buku-buku ini. Insyaallah, jika awak tidak mengehadkan kreativiti dan imaginasi kepada plot-plot dan konsep-konsep fiksyen sains yang biasa terdapat di dalam filem dan televisyen, awak boleh menjadi seorang penulis fiksyen sains yang bukan sahaja hebat, tetapi mungkin juga boleh bertanding di persada fiksyen sains dunia suatu hari kelak.

Itu yang kita semua mahu lihat sebenarnya.