Salam,
Ramai pembaca apabila berdepan dengan fiksyen sains akan bertanggapan bahawa fiksyen sains itu hanya suatu genre yang sentiasa mengetengahkan konsep-konsep futuristik seperti robot, kereta terbang, kapal angkasa, gajet canggih, dan sebagainya.
Mereka beranggapan bahawa cerita-cerita fiksyen sains sering berlatarkan zaman hadapan yang (pada pendapat mereka) kononnya mengarut, tak logik, dan tak ada kaitan langsung dengan kisah-kisah kehidupan masing-masing.
Mungkin juga ini salah kita sebagai penulis fiksyen sains. Mungkin kita tidak membawa kisah fiksyen sains dalam novel-novel dan cerpen-cerpen kita yang cukup menarik untuk pembaca memahami maksudnya yang tersirat.
Di sini penulis fiksyen sains memainkan peranan yang penting dalam membangun genre fiksyen sains menjadi genre yang tinggi. Penulis fiksyen sains haruslah ingat bahawa genre fiksyen sains ini bukan sahaja suatu genre mainan anak kecil di mana penulis hanya tahu berhibur diri dengan membayangkan aksi cool dua pejuang angkasa yang saling bertempur ala dogfighting di luar atmosfera Zuhrah. Ya, itu memang cool tetapi itu perencah sahaja.
Genre fiksyen sains lebih daripada itu. Genre fiksyen sains adalah satu-satunya genre yang boleh mencerminkan semangat zaman masyarakat setempat atau “zeitgeist”. Setiap penulis adalah produk sesuatu masyarakat dan siapa lagi jika bukan seseorang penulis sahaja yang mampu menulis sebuah cerita yang mencerminkan kisah masyarakat pada sesuatu ketika.
Akan tetapi kadangkala penulis mengalami kesulitan jika menulis tentang kisah-kisah di dalam masyarakatnya akibat tekanan daripada masyarakat itu sendiri kerana adab-adab sosial yang mungkin bertentang dengan pendapatnya atau mungkin juga dia menerima tekanan daripada pemerintah yang zalim yang tidak mahu kisah korupnya tersiar dan terbongkar.
Mungkin penulis tidak boleh sentiasa mencerita secara terang-terangan, jadi dia perlu menulis secara halus dan berlapis-lapis dan genre fiksyen sains ini sangat sesuai untuk itu. Di sebalik setiap cerita fiksyen sains yang baik akan ada subteks dan teguran untuk pembaca menghadam dan menghayati. Fiksyen sainsmenawarkan latar yang berangkasa dan futuristik tetapi plot dan mesej yang ingin disampaikan penulis masih universal dan dapat dihadam dan diteladan pembaca umum.
Di dalam novel (bukan filem) Starship Troopers (1959) misalnya, Robert Heinlein cuba mengupas isu kewarganegaraan atau “citizenship” dan pentingnya semangat patriotik untuk negara. Heinlein cuba menerangkan bagaimana patriotisme dan semangat berjuang itu penting untuk sesuatu bangsa maju dan mampu menakluki elemen-elemen asing yang cuba merosakkan cara hidup yang dikatakan cara hidup yang ideal.
Semua isu-isu ini dikupas dan diolah berlatarkan zaman hadapan di mana Bumi disatukan bawah satu sistem pemerintah (baca: Amerika Syarikat) yang militaristik dan sentiasa berusaha “berjuang” di perantauan angkasa menentang musuh-musuh berbentuk serangga gergasi yang melakukan “perbuatan terorisme” terhadap rakyat Bumi.
Pembaca yang hanya membaca kerana inginkan keseronokan dan eskapisme akan terpesona dengan perang-perang angkasa di dalam novel itu tetapi dia akan terlepas untuk memahami subteks propaganda yang ingin disampaikan Heinlein. Setuju atau tidak dengan pandangan Heinlein tentang sistem politik yang ingin disampaikan itu belakang kira. Yang penting beliau berjaya menyampaikan apa yang ingin diluahkannya melalui genre fiksyen sains dan kita pun telah berjaya memahami apa maksud sebenar yang ingin Heinlein sampaikan.
Beberapa tahun kemudian, seorang penulis fiksyen sains bernama Joe Haldeman telahpun membaca dan menelaah novel Starship Troopers dan sebagai seorang veteran Perang Vietnam dia sangat tidak setuju dengan pandangan yang dikemukakan Heinlein. Jadi beliau berusaha menulis sebuah novel fiksyen sains sendiri dan hasilnya ialah novel The Forever War (1974) yang berlatarkan cerita seorang soldadu yang dikerah berperang dengan musuh makhluk asing yang sukar ditentang akibat batasan perjalanan merentasi jarak jauh di angkasa dan kesan dilasi masa.
Tetapi elemen-elemen fiksyen sains itu semua perencah sahaja kerana novel itu sebenarnya membincangkan isu-isu keras peperangan dan kesan-kesan dahsyat yang dialami soldadu dan juga rakyat yang terlibat dalam peperangan. Ini semua dikupas dengan baik sekali tetapi dipersembahkan secara halus di antara babak-babak peperangan dan kisah seorang soldadu yang rindu kepada kekasihnya yang juga merupakan seorang soldadu yang dikerah tetapi dihantar ke teater peperangan yang lain.
Pada permukaan, kedua-dua novel ini seperti novel yang serupa. Kedua-duanya tentang perang dan kedua-duanya berlatarkan angkasa. Malahan kedua-dua novel ini memangpun diangkat sebagai klasik setandingan di dalam subgenre Military Science Fiction. Tetapi hakikatnya ialah dua novel ini sangat berbeza dari segi mesej yang ingin disampaikan.
Di dalam novel The Forever War, Haldeman mengecam keras pandangan yang diketengahkan oleh Heinlein di dalam novel Starship Troopers. Heinlein berpendapat bahawa peperangan adalah suatu dosa yang “perlu” supaya manusia sejagat dapat dipertahankan manakala Haldeman berpendapat peperangan itu hanya membawa kecelakaan kepada semua insan yang terlibat.
Kedua pandangan ini mencerminkan semangat zaman novel-novel itu ditulis. Starship Troopers ditulis di akhiran 60an abad ke-20 di mana Amerika Syarikat baru sahaja selesai Perang Korea dan semangat menyebarkan agenda kapitalis menentang komunisme masih berkobar-kobar di antara rakyat Amerika. Manakala Forever War pula diterbitkan dalam pertengahan tahun 70an semasa gerakan Flower Power sedang rancak berdemonstrasi menentang pemerintah mereka yang menjarah peperangan yang tidak bermakna di Vietnam.
Walaupun kedua-dua novel ini menyampaikan mesej yang berbeza, kedua-duanya diangkat sebagai teks yang penting dalam genre fiksyen sains dan juga sastera kerana novel-novel ini berjaya mencerminkan zeitgeist pada ketika itu.
Jadi, sebagai seorang penulis fiksyen sains, apakah mesej yang awak mahu sampaikan? Apakah semangat zaman yang mahu awak turunkan ke dalam bentuk penulisan berlatarkan futurisme? Adakah awak seorang Heinlein atau Halderman yang mahu mencerminkan semangat zaman melalui sebuah opera angkasa yang epik?
Ted Mahsun memang power vocabnya. Hari ni saya belajar satu perkataan baru, “zeitgeist”. Artikel ini sangat baik untuk penulis yang baru hendak berjinak-jinak dengan saifai.
LikeLiked by 1 person