Wawancara bersama Azida Ishak, Puteri SaiFai Malaysia

azidaishak

Sri Rahayu Mohd Yusop, mewawancara Azida Ishak, penulis yang terkenal dengan novel Leksikon Ledang yang ditulis bersama Fadli al-Akiti.

leksikon ledang

Novel tersebut telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Utusan Musim Ketiga dan diterbitkan pada tahun 2015. Pada tahun yang sama, beliau juga telah menerbitkan buku antologi cerpennya yang sulung, Resesif, bersama rumah penerbitan Simptomatik Press.

Dalam wawancara ini, Azida Ishak berkongsi filem-filem dan buku-buku yang diminati dan mempengaruhinya serta pengalamannya menulis.

Azida telah menulis artikel, cerpen dan juga novel dalam genre fiksyen sains. Bentuk yang mana satu paling Azida gemari dan kenapa?
Saya paling gemar tulis artikel sebab saya suka baca fakta sains. Kalau fakta itu menarik dan ada unsur weird, lagilah saya suka.

Dalam koleksi buku saya, ada buku seperti The Frog With Self-Cleaning Feet (And Other Extraordinary True Tales From The Animal World) dan National Geographic Tales of the Weird.

Oh ya, saya kumpul buku Richard Dawkins sebab tajuk-tajuk dia sangat catchy. Dia seorang saintis tetapi lihatlah tajuk buku dia: The God Delusion, The Selfish Gene, The Magic of Reality, The Greatest Show on Earth. Tengok tajuk pun saya rasa hendak tekan butang beli.

resesif

Cerpen Mainan Teknologi dalam antologi peribadi Azida yang bertajuk Resesif agak morbid. Adakah karya ini dipengaruhi oleh mood semasa Azida?
Mungkin juga saya agak moody masa tu, kerana saya baru lepas putus cinta. Masa mencipta salah seorang watak jahat di dalam cerpen itu, saya bayangkan ex saya, dan saya tulis sepuas hati seperti nak melepaskan perasaan.

Saya lihat, bila mana saya mengalami tindakbalas emosi (gembira atau sedih), luahan perasaan itu akan terzahir secara semula jadi dalam karya saya. Saya juga pernah menulis novel romantik bila saya jatuh cinta.

Seronok juga bila berpeluang melalui pengalaman emosi rollercoaster seperti itu, dan lepas tu berupaya menumpahkan semula pengalaman istimewa itu ke dalam karya.

Cerpen Mainan Teknologi juga mempunyai gaya episod Amazing Stories yang saya suka tonton pada zaman dahulu. Boleh kongsikan tentang karya di kaca TV yang memberi pengaruh kepada karya-karya Azida?
Saya tulis cerpen itu lepas menonton episod dalam The X-Files, yang mana askar-askar AS dipaksa menjalani eksperimen sehingga menyebabkan mereka tidak berupaya untuk tidur buat selama-lamanya.

Tapi askar-askar itu akhirnya membunuh diri kerana tidak tahan dengan imbas kembali zaman silam mereka membunuh orang-orang awam semasa Perang Vietnam.

x-files

Saya merasakan penulis episod ini sangat bijak dalam menceritakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang terperangkap antara tanggungjawab tugas serta kesetiaan kepada negara, berlawan pula dengan perasaan normal mereka sebagai manusia yang mempunyai belas kasihan dan kasih sayang kepada manusia lain. Ini suatu mainan konflik yang sangat baik.

Karya saya banyak dipengaruhi The X-Files kerana saya peminat tegar. Angan-angan saya adalah untuk menghasilkan sebuah novel penyiasatan misteri dengan hero dan heroinnya yang bijak seperti Scully dan charming seperti Mulder.

Apa pendapat Azida apabila saya menyatakan yang penulis wanita yang menulis fiksyen sains (dan bukan bauran fantasi) masih dianggap terlalu sedikit bilangannya dibandingkan dengan penulis lelaki? Jika bersetuju apakah Azida rasa akan sebab-musababnya?
Ya, saya setuju. Genre fiksyen sains lebih dikuasai penulis lelaki. Sebabnya, kerana wujud tanggapan bahawa menulis saifai itu susah, seperti yang pernah diutarakan oleh Ted. (Lihat: “Susahnya menulis saifai!“)

Ramai penulis wanita lebih senang menulis kisah cinta, kerana fitrah wanita itu sendiri yang suka dibelai dan dimanjakan. Tapi itu tidak bermakna bahawa wanita tidak boleh menulis saifai, dan lelaki pula tidak boleh menulis novel romantis.

Ini semua bergantung kepada kemahuan, minat dan kehendak peribadi masing-masing.

Apakah filem fiksyen sains kegemaran Azida? Dan kenapa ia menjadi pilihan?
Star Wars kerana kompleksiti plotnya. Interstellar kerana kajian fiziknya. Alien dan Predator kerana kehebatan aksinya. Prometheus kerana teorinya yang mind-blowing dalam mencari asal-usul manusia. Ya, teori itu tak masuk akal, tapi saya suka.

Adakah Azida merasakan yang ada perlunya penulis Malaysia untuk menulis fiksyen sains yang mengangkat peranan watak-watak tempatan, lokasi tempatan dan juga kebudayaan tempatan?
Sudah tentu! Kerana karya sedemikian akan memartabatkan bangsa dan menyumbang kepada peningkatan pemikiran masyarakat. Membentuk inteligensia, seperti kata Prof. Saleeh Rahamad.

Apa pula pendapat Azida jika penulis SaiFai Malaysia menulis sebagai warga dunia, tanpa membawa identiti Malaysia?
Oh sayang! Kenapa perlu menulis secara umum bila penulis boleh manfaatkan banyak ciri-ciri unik kita sebagai seorang rakyat Malaysia?

Ramai penulis Malaysia yang berjaya mencipta nama di luar sana, dengan karya yang membawa budaya dan identiti Malaysia.

Karya agung 1515 tulisan Faisal Tehrani khabarnya sudah diterjemah ke beberapa bahasa dan dipasarkan secara meluas ke banyak negara, dan saya sebagai rakyat Malaysia tumpang berbangga bila mendengar khabar seperti ini.

Apakah pengalaman Azida semasa kecil yang menyebabkan Azida ingin jadi penulis kreatif?
Cikgu-cikgu di sekolah banyak memberi semangat untuk saya menulis. Tapi saya lebih gemar menulis rumusan dan surat rasmi masa jawab soalan peperiksaan. Penulisan kreatif tidak berapa laju sangat ketika itu.

Sampai sekarang, saya tidak berapa gemar menyediakan plot untuk cerpen atau novel. Akhirnya saya minta tolong rakan-rakan untuk plotkan novel saya.

Apakah rutin penulisan Azida apabila anda ingin menyiapkan sesuatu projek penulisan?
Saya perlukan internet semasa menaip. Saya sentiasa buka kamus DBP dalam talian.

Bahan rujukan yang diperlukan sudah tersimpan dalam folder dalam pen drive. Pen drive itulah buah hati pengarang jantung saya.

Dan saya sangat menjaga pemakanan semasa menulis, kerana saya tidak suka berasa mengantuk semasa idea sedang mencurah-curah.

Adakah Azida memerlukan muzik untuk menulis atau suka menulis dalam keadaan senyap sunyi?
Saya lebih sukakan senyap sunyi jika saya mahu fokus 100% kepada kerja saya. Bila saya dengar muzik, tumpuan saya akan lari. Nanti hendak google liriklah, cari perkembangan terkini penyanyilah, hendak tonton muzik video barulah, meleret-leret saya melencong sampai malam pun tidak siap kerja.

Jika diberi peluang dan ilham, apakah harapan Azida untuk projek penulisan seterusnya?
Saya mahu menulis novel tentang human rights dan kekejaman dunia, contohnya penindasan terhadap orang miskin, kekejaman pemerdagangan manusia dan mangsa peperangan.

Ia subjek yang berat, dan saya sedang melakukan persediaan mental untuk menghadapinya.

Adakah Azida percaya yang seorang penulis memerlukan seorang “muse”? Kenapa?
Maaf, saya tiada “muse”. Saya menulis mengikut bahan bacaan yang saya minat dan rasa terinspirasi. Kadangkala penulis buku yang saya suka itulah “muse” saya.

Adakah anda penulis yang suka minum teh atau kopi?
Saya tak berapa gemarkan teh dan kopi. Saya banyak minum air masak dan air hijau.

Paling saya suka: air limau, lagi masam lagi bagus. Ini untuk hilang mengantuk, petua yang saya belajar daripada Lokman Hakim (penulis Retina, Monarki, dan Debat Tuhan Manusia. Lihat: Wawancara bersama Lokman Hakim.)

Fiksyen Sains Mencerminkan Semangat Zaman

Salam,

Ramai pembaca apabila berdepan dengan fiksyen sains akan bertanggapan bahawa fiksyen sains itu hanya suatu genre yang sentiasa mengetengahkan konsep-konsep futuristik seperti robot, kereta terbang, kapal angkasa, gajet canggih, dan sebagainya.

Mereka beranggapan bahawa cerita-cerita fiksyen sains sering berlatarkan zaman hadapan yang (pada pendapat mereka) kononnya mengarut, tak logik, dan tak ada kaitan langsung dengan kisah-kisah kehidupan masing-masing.

Mungkin juga ini salah kita sebagai penulis fiksyen sains. Mungkin kita tidak membawa kisah fiksyen sains dalam novel-novel dan cerpen-cerpen kita yang cukup menarik untuk pembaca memahami maksudnya yang tersirat.

Di sini penulis fiksyen sains memainkan peranan yang penting dalam membangun genre fiksyen sains menjadi genre yang tinggi. Penulis fiksyen sains haruslah ingat bahawa genre fiksyen sains ini bukan sahaja suatu genre mainan anak kecil di mana penulis hanya tahu berhibur diri dengan membayangkan aksi cool dua pejuang angkasa yang saling bertempur ala dogfighting di luar atmosfera Zuhrah. Ya, itu memang cool tetapi itu perencah sahaja.

Genre fiksyen sains lebih daripada itu. Genre fiksyen sains adalah satu-satunya genre yang boleh mencerminkan semangat zaman masyarakat setempat atau “zeitgeist”. Setiap penulis adalah produk sesuatu masyarakat dan siapa lagi jika bukan seseorang penulis sahaja yang mampu menulis sebuah cerita yang mencerminkan kisah masyarakat pada sesuatu ketika.

Akan tetapi kadangkala penulis mengalami kesulitan jika menulis tentang kisah-kisah di dalam masyarakatnya akibat tekanan daripada masyarakat itu sendiri kerana adab-adab sosial yang mungkin bertentang dengan pendapatnya atau mungkin juga dia menerima tekanan daripada pemerintah yang zalim yang tidak mahu kisah korupnya tersiar dan terbongkar.

Mungkin penulis tidak boleh sentiasa mencerita secara terang-terangan, jadi dia perlu menulis secara halus dan berlapis-lapis dan genre fiksyen sains ini sangat sesuai untuk itu. Di sebalik setiap cerita fiksyen sains yang baik akan ada subteks dan teguran untuk pembaca menghadam dan menghayati. Fiksyen sainsmenawarkan latar yang berangkasa dan futuristik tetapi plot dan mesej yang ingin disampaikan penulis masih universal dan dapat dihadam dan diteladan pembaca umum.

starshiptroopers

Di dalam novel (bukan filem) Starship Troopers (1959) misalnya, Robert Heinlein cuba mengupas isu kewarganegaraan atau “citizenship” dan pentingnya semangat patriotik untuk negara. Heinlein cuba menerangkan bagaimana patriotisme dan semangat berjuang itu penting untuk sesuatu bangsa maju dan mampu menakluki elemen-elemen asing yang cuba merosakkan cara hidup yang dikatakan cara hidup yang ideal.

Semua isu-isu ini dikupas dan diolah berlatarkan zaman hadapan di mana Bumi disatukan bawah satu sistem pemerintah (baca: Amerika Syarikat) yang militaristik dan sentiasa berusaha “berjuang” di perantauan angkasa menentang musuh-musuh berbentuk serangga gergasi yang melakukan “perbuatan terorisme” terhadap rakyat Bumi.

Pembaca yang hanya membaca kerana inginkan keseronokan dan eskapisme akan terpesona dengan perang-perang angkasa di dalam novel itu tetapi dia akan terlepas untuk memahami subteks propaganda yang ingin disampaikan Heinlein. Setuju atau tidak dengan pandangan Heinlein tentang sistem politik yang ingin disampaikan itu belakang kira. Yang penting beliau berjaya menyampaikan apa yang ingin diluahkannya melalui genre fiksyen sains dan kita pun telah berjaya memahami apa maksud sebenar yang ingin Heinlein sampaikan.

Joe Haldeman_1974_The Forever War

Beberapa tahun kemudian, seorang penulis fiksyen sains bernama Joe Haldeman telahpun membaca dan menelaah novel Starship Troopers dan sebagai seorang veteran Perang Vietnam dia sangat tidak setuju dengan pandangan yang dikemukakan Heinlein. Jadi beliau berusaha menulis sebuah novel fiksyen sains sendiri dan hasilnya ialah novel The Forever War (1974) yang berlatarkan cerita seorang soldadu yang dikerah berperang dengan musuh makhluk asing yang sukar ditentang akibat batasan perjalanan merentasi jarak jauh di angkasa dan kesan dilasi masa.

Tetapi elemen-elemen fiksyen sains itu semua perencah sahaja kerana novel itu sebenarnya membincangkan isu-isu keras peperangan dan kesan-kesan dahsyat yang dialami soldadu dan juga rakyat yang terlibat dalam peperangan. Ini semua dikupas dengan baik sekali tetapi dipersembahkan secara halus di antara babak-babak peperangan dan kisah seorang soldadu yang rindu kepada kekasihnya yang juga merupakan seorang soldadu yang dikerah tetapi dihantar ke teater peperangan yang lain.

Pada permukaan, kedua-dua novel ini seperti novel yang serupa. Kedua-duanya tentang perang dan kedua-duanya berlatarkan angkasa. Malahan kedua-dua novel ini memangpun diangkat sebagai klasik setandingan di dalam subgenre Military Science Fiction. Tetapi hakikatnya ialah dua novel ini sangat berbeza dari segi mesej yang ingin disampaikan.

Di dalam novel The Forever War, Haldeman mengecam keras pandangan yang diketengahkan oleh Heinlein di dalam novel Starship Troopers. Heinlein berpendapat bahawa peperangan adalah suatu dosa yang “perlu” supaya manusia sejagat dapat dipertahankan manakala Haldeman berpendapat peperangan itu hanya membawa kecelakaan kepada semua insan yang terlibat.

Kedua pandangan ini mencerminkan semangat zaman novel-novel itu ditulis. Starship Troopers ditulis di akhiran 60an abad ke-20 di mana Amerika Syarikat baru sahaja selesai Perang Korea dan semangat menyebarkan agenda kapitalis menentang komunisme masih berkobar-kobar di antara rakyat Amerika. Manakala Forever War pula diterbitkan dalam pertengahan tahun 70an semasa gerakan Flower Power sedang rancak berdemonstrasi menentang pemerintah mereka yang menjarah peperangan yang tidak bermakna di Vietnam.

Walaupun kedua-dua novel ini menyampaikan mesej yang berbeza, kedua-duanya diangkat sebagai teks yang penting dalam genre fiksyen sains dan juga sastera kerana novel-novel ini berjaya mencerminkan zeitgeist pada ketika itu.

Jadi, sebagai seorang penulis fiksyen sains, apakah mesej yang awak mahu sampaikan? Apakah semangat zaman yang mahu awak turunkan ke dalam bentuk penulisan berlatarkan futurisme? Adakah awak seorang Heinlein atau Halderman yang mahu mencerminkan semangat zaman melalui sebuah opera angkasa yang epik?

10 Perkara Yang Anda Kena Tahu Sebelum Masuk Sayembara SaiFai

Masuk sayembara memang seronok. Tapi bayangannya, sebelum kita masuk, seakan-akan kita berfantasi bergodek bola dengan Harry Potter dalam satu acara Quidditch, yang apabila kita sedar kita ada di padang stadium dengan penyapu orang gaji yang kita pinjam dari belakang pintu dapur, kerana kita berdarah muggle, kita tak akan dapat pun menunggangnya ke udara.

Tak usah tipulah, rata-ratanya, yang masuk sayembara, memang nak menang kerana ganjaran wangnya. Hanya segelintir sahaja yang masuk, atas semangat “untuk memperkayakan bahan sastera, khususnya genre canggih dan masa depan ini”.

Sayembara sebenarnya tidak mudah, menyakitkan dan memang makan hati. Jika dalam dunia penerbitan (bukan indie yang kadangkala tidak ada penilai dan penyunting profesional), kita hanya perlu melalui editor dan kemudian penilainya, manakala dalam sayembara, penilainya juga yang menentukan kalah menang karya kita dan bagaimana kita ini “poyo” buat mereka atau “satu anugerah Tuhan” di mata mereka. Ia tidak mudah, dan tidak mungkin dapat dikuasai tanpa benar-benar bersedia dengan beberapa perkara:

1. Masuk Kursus/Bengkel

Nak tak nak, jika ada kalangan urus setia AKA penerbit yang menyediakan hadiah sayembara yang melaksanakan bengkel, silalah masuk. Kerana selalunya, penceramah yang sama ialah penilai/hakim yang sama. Jadi perlulah anda faham apa yang mereka mahu, sehingga anda tahu luar dalam mereka. Bukanlah sehingga mengekori mereka, atau lebih buruk lagi, mencari alasan untuk baring di atas katil mereka, tidak, sekurang-kurangnya tahulah apa yang mereka mahu.

2. Hakim ialah Tuhan

Walaupun ada pandangan Barat bahawa penulis ialah Tuhan sebenar kerana dia menentukan jatuh-bangun dunia dan manusia yang melata di dalam dunianya, dalam hal sayembara, penilai atau hakim itulah yang Tuhan. Sebaik atau sehebat mana idea karya anda, jika mereka tak suka, mereka takkan suka. Dan nasib andalah jika tahun itu anda dapat hakim yang celaka ya Rabbi. Dan, selalunya, oleh sebab kita tidak ada pengkhususan di universiti kita akan genre saifai, bersedialah untuk dibarisi hakim atau penilai yang tahu tahi tentang genre saifai. Hei manusia! Sembahlah Tuhan kamu!

3. Idea Baharu

Memang ada pepatah dari sudut interteks, dalam dunia sekarang sudah tidak ada cerita yang baharu. Semua cerita sudah diceritakan, dan kita hanya perlu susun satu struktur baharu untuk suatu cerita yang sedia ada. Cerita mungkin sudah lapuk, tetapi idea sangat baharu, dan idea dalam saifai banyak yang belum diterokai, lebih-lebih lagi dalam bahasa Melayu.

4. Buat Kajian

Apa-apa pun, kalau mahu mula, buatlah kajian. Saifai bukan genre yang kita kutip atas awangan. Yang kita ambil apabila melihat burung melintas langit. Betul, Isaac Newton mendapat idea (bukankah ini mitos?) akan teori graviti pun melalui epal jatuh sewaktu tidur di bawah pokok. Ah, lihat! Epal ialah perwakilan alam, begitu juga tanah tempat baring Newton. Newton membuat pemerhatian terhadap perilaku alam, suatu perilaku yang setiap hari berlaku, terikat dengan sesuatu, suatu undang-undang yang dipanggil undang-undang alam. Pemerhatian di sini penting. Ia menimbulkan rasionalisasi atau penaakulan atau penaksiran atau perbandingan atau, berlakunya suatu percampuran beberapa unsur dalam pemikiran yang menghasilkan suatu kesimpulan. Kesimpulan inilah yang menghasilkan idea baharu, dan dalam saifai, idea baharu ini selalunya berundang, dan undang-undang ini terbina daripada pengkajian beberapa sumber sains.

5. Jangan Takut

Jika kita sudah kenal dengan hakim atau penilai kita, tahu kekuatan dan kelemahan mereka, maka kita jangan takut. Jangan takut mencuba. Jangan takut menulis, walaupun kita rasa idea itu bodoh dan kolot. Ada idea yang lagi bodoh dan kolot yang pernah dibikin oleh penulis dan mampu pun menang dalam sayembara, contohnya, kisah lintah yang naik paha seorang wanita lalu menaikkan nafsunya (pertama: lintah tidak ada otak, kedua: bodoh jika seorang wanita boleh ghairah dengan seekor lintah di atas pahanya).

6. Sunting, sunting, sunting!

Jangan lepaskan karya anda tanpa suntingan dan semakan yang sehabis baik dan berkali-kali. Anggaplah editor yang akan menangani itu bodoh dan tidak teliti. Percayalah, ini mampu membantu. Tanya saja kepada permaisuri saifai yang tidak berhenti masuk sayembara (kita lebih sesuai memanggilnya ratu sayembara), Sri Rahayu.

7. Jaga Jadual Penulisan

Benda paling celaka dalam dunia sayembara ialah, peraduan ini ada tempoh tamatnya, tarikh luput. Anda perlu tahu, bila nak kaji bahan, bila nak menulis, bila nak semak semula, bila nak baca balik, dan bila nak baiki sebelum mengirimnya. Tips paling elok, jika anda nak jadi “the next Asimov” atau “Clarke” atau “Herbert” atau “Dick”, atau lebih baik, Peter F Hamilton, kerana novelnya tebal-tebal ya amat boleh bunuh orang dengan sekali hampuk, anda tulis sajalah sampai lepas tarikh hantar, kemudian masuk pembukaan sayembara seterusnya–et voila!–anda sudah siap satu untuk dikirim, adikarya tu (jangan terkejut jika Allahyarham Abdullah Hussain menang novelnya, Imam, kerana itu, saja-saja hantar masuk sayembara).

8. Anggap Wang Hadiah sebagai Royalti

Bangunlah daripada mimpi. Anda penulis. Di Malaysia, kalau anda tidak menulis kisah romantik, buku-buku politik, kisah-kisah seram, teks ucapan menteri, anda tidak akan kaya. Kalau tak, takkan A. Samad Said tak buat mogok seninya. Penulis dipandang sebagai haiwan yang hina di Malaysia. Sebab itu, penerbit TV sampai hari ini boleh mempermainkan para penulis. Dalam saifai, kerana pasarannya, lagilah, jangan harap anda akan dapat royalti daripada penerbit, maha lembap, atau tidak ada pun. Lagi-lagi jika harga buku yang dicetak nanti menyamai harga sebuah novel dari Amerika atau UK. Siapa nak beli? Jadilah macam Sri Rahayu, fasal itu dia masuk setiap tahun, kerana ganjaran wangnya hanya kemenangan, bukan jualan buku.

9. Bersedia untuk Promo Sendiri

Anda percayakah ada orang nak beli novel saifai? Serius? Nasihat saya satu sahaja: belajar bagaimana seorang pelacur berjaya menjual diri mereka jika anda betul-betul mahukan keuntungan duit. Saya masuk dalam sebuah bengkel bersama-sama pengedar buku baru-baru ini. Tauke kedai buku, dengan bangganya memaparkan bahawa, dengan bodohnya, dia tidak dapat membuat buku itu laku, tapi penulis sahaja, dengan blognya, media sosialnya, teman tidurnya, rakan-rakannya, peminat setianya, pengikutnya, yang dapat membuat bukunya laku sehingga mencecah jualan empat puluh ribu.

10. Baca, Baca dan Baca!

Kalau anda seekor penulis saifai dan anda tidak membaca novel saifai, baik anda sunat diri anda sekali lagi!

Wawancara bersama Lokman Hakim, Penulis Prolifik

Blogger tamu Pena SaiFai, Azida Ishak, mewawancara Lokman Hakim, seorang penulis SaiFai yang bukan sahaja prolifik, tetapi juga murah hati apabila berkongsi ilmu.

Berikut ialah hasil wawancara itu:

LokmanHakim

Lokman Hakim

Salam, Lokman! Penulis yang paling tulis laju macam alien. Meh sini kami nak interview dan korek rahsia, supaya kita semua ada sikit idea macam mana nak jadi seorang penulis yang maju jaya dan bersemangat macam Lokman.

Dengar cerita Lokman ni seorang alien. Betul ke?
Saya percaya saya seorang alien. Kerana gaya hidup saya sendiri tidak serupa orang-orang di sekeliling saya dan adalah lebih mudah menjawab ‘sebab aku ini alien’ apabila orang bertanya bagaimana saya boleh menyelesaikan kerja-kerja yang banyak dalam masa yang singkat.

Alien di sini tidaklah bermaksud saya ini datangnya dari planet lain. Hanya saya ini manusia yang agak alienated dari masyarakat sekeliling saya. Terasing dari segi pemikiran dan juga gaya hidup.

Boleh kongsikan sedikit bagaimana Lokman mula menceburkan diri dalam bidang penulisan? Macam mana boleh jatuh cinta dengan genre saifai?
Sebenarnya, saya bukanlah pembaca buku tegar sangat. Sebelum tahun 2012, saya adalah pemuzik dalam scene underground dan langsung tak ada keinginan untuk membaca buku-buku fiksyen, apatah lagi menceburkan diri dalam bidang penulisan.

Ketika itu saya tertarik dengan band Billy Talent yang seringkali mencipta lagu berdasarkan novel-novel Paulo Coelho. Daripada Paulo Coelho, saya beralih pula kepada Haruki Murakami, Dan Brown dan juga Danielle Trussoni.

Saya melihat bagaimana penulis-penulis seperti Dan Brown menggunakan simbologi dalam thriller yang ditulisnya, pembabitan CERN dan konflik agama yang kemas diadun membuatkan saya tertanya pada diri sendiri.

Mengapa tak ada karya sebegini dalam bahasa Melayu? Kenapa karya saifai sangat kurang? Sesudah membaca karya Angelopolis hasil nukilan Danielle Trussoni dan juga Inferno hasil nukilan Dan Brown, saya memutuskan untuk menulis novel saya sendiri.

Kecenderungan saya dengan saifai barangkali kerana latar pendidikan dan pekerjaan saya yang banyak bergelumang dengan sains dalam kehidupan seharian. Tambahan pula semasa kecil, kami adik-beradik memang diasuh untuk meminjam buku-buku saifai dari perpustakaan setiap dua minggu.

Selalu Lokman dapat ilham masa mimpi? Sebab Lokman pernah kata, tak minat nak baca atau tengok filem cerita hantu atau bunuh-bunuh yang darah memancut-mancut tu. Tapi Lokman boleh ilhamkan balik babak seram berdarah-darah dalam novel. Kongsilah sedikit.
Saya tidaklah kerap mendapat ilham masa mimpi. Ilham sentiasa datang bila-bila masa kerana saya sentiasa melihat sesuatu objek atau situasi dari perspektif berbeza. Benar, saya tidak minat baca atau tengok filem cerita hantu atau bunuh-bunuh, kerana saya punya imaginasi yang melampau.

Namun saya tiada masalah untuk melihat gambar-gambar ngeri. Saya suka baca manga seperti Gantz dan Goth yang memperincikan babak-babak pembunuhan dalam karya-karya mereka.

Ditambah pula saya sering mendapat mimpi-mimpi ngeri. Apabila sering mendapat mimpi ‘dibunuh’ ataupun ‘membunuh’ yang begitu realistik pengalamannya, maka adalah tidak menjadi kesukaran untuk saya menuliskan kembali babak tersebut.

Kenapa Lokman minat sangat menulis ni? Lokman ada impian nak jadi penulis saifai jutawan yang pertama kat Malaysia ke?
Saya sebenarnya tiada apa yang menarik pun hendak dibuat dengan hidup saya selain menulis. Itu mungkin jawapan paling logikal, tetapi tak sebegitu tepat. Setiap elemen hedonisme yang menghiburkan saya semasa berusia 20-an dulu kini cukup muak untuk didekati.

Saya tidak menulis untuk duit, dan saya menganggap royalti itu bonus. Saya tidak rasa saya akan menjadi kaya dengan menulis tetapi itu tidak mengapa. Kerana saya obses menulis sehingga saya sendiri tidak faham mengapa saya sangat minat menulis.

Apa yang memotivasikan Lokman sampai sanggup bangun pagi dan menulis beribu-ribu patah perkataan setiap hari? Kalau seminggu sekali mungkinlah boleh tahan, tapi ini hari-hari!
Saya kecewa kerana banyak karya-karya dalam Bahasa Melayu yang terperangkap dalam spektrum keMelayuan dan Islam. Tiada siapa mahu menulis perihal Buddha dalam bahasa Melayu, sebagai contohnya (Jika ada, harap betulkan saya), ataupun suara orang murtad (yang mengutuk murtad itu ramai).

Saya mahukan karya-karya bahasa Melayu lebih universal sepertimana karya-karya barat yang melangkaui agama, sains dan segala jenis taboo yang merepek. Saya melihat tanggungjawab menuliskan karya-karya yang universal ini sudah menjadi tanggungjawab individu, yakni, saya sendiri.

Dan masa terlalu singkat untuk saya. Saya tidak boleh berhenti menulis walau sehari, ia akan buatkan saya rasa bersalah yang teramat sangat. Terlalu banyak tema dan topik yang tak dibahaskan dalam karya-karya fiksyen berbahasa Melayu. Ia sangat menyedihkan saya.

Apa pandangan Lokman tentang dunia penulisan saifai kat Malaysia ni?
Penulisan saifai masih dalam dunia pembaca dan penulis saifai sendiri. Kita masih sukar untuk menarik pembaca-pembaca lokal yang rata-ratanya lebih menggemari novel-novel cinta, thriller dan seram. Boleh jadi kerana taboo agama dan juga pendidikan yang terlalu menekankan konsep lulus ujian selaku kejayaan. Budaya mencintai ilmu itu sendiri tidak ada. Sangat menyedihkan.

Biarpun begitu, saya nampak, penulisan saifai sudah mula mendapat momentumnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan kemunculan penerbit-penerbit buku alternatif. Pengenalan sayembara penulisan sains fiksyen juga telah membuka platform untuk karya-karya saifai berkembang pesat.

Sebenarnya, penulisan saifai lokal dalam Bahasa Inggeris itu sendiri juga harus diberi penekanan penting oleh kerajaan. Mereka ini punya karya-karya yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, hanya kurang perhatian yang diberikan kepada mereka ini. Barangkali satu NGO patut ditubuhkan dalam menjana dana kewangan untuk membantu penulis-penulis ini. Penubuhan NGO ini akan memastikan karya-karya saifai lokal yang berpotensi ini diterbitkan oleh penerbit-penerbit buku ternama antarabangsa.

Siapa penulis saifai dan/atau buku-buku kegemaran Lokman dalam dan luar negara?
Sukar soalan ini sebenarnya. Tambahan pula saya tak ada penulis saifai kegemaran, mungkin sebab terlalu banyak buku dibaca sehingga saya sendiri sukar hendak memutuskan mana satu kegemaran dan mana satu tidak.

Maka saya akan letakkan nama Danielle Trussoni dan juga Dan Brown selaku pilihan saya walaupun mereka bukanlah penulis saifai sepenuhnya. Oh ya, saya suka trilogi MaddAddam oleh Margaret Atwood. Saifai sosial. Buku-buku sebegitu akan cepat masuk dalam senarai buku kegemaran saya.

Boleh senaraikan buku-buku yang Lokman dah terbitkan (ikut turutan terbitan) dan juga sedikit sinopsis buku-buku itu?

Sehingga ke hari ini, terdapat enam buah novel dan sebuah antologi cerpen yang telah diterbitkan:

  1. Selamat Datang Ke Narkisa (Roman Buku, Mac 2014)
    Sebuah novel bergenre thriller fantasi yang mengisahkan kegilaan Risa yang mahu mengurung setiap mangsanya di dalam dunia Narkisa. Tema cerita adalah narsissistik yang melampaui batasan.
  2. Retina (FIXI, Ogos 2014)
    Sebuah novel fantasi yang bersulam sedikit elemen saifai yang mengisahkan pencarian konteks kebenaran mutlak oleh tiga individu yang berlainan latar belakangnya. Menjadikan elemen surrealisme untuk membangkitkan plot-plotnya.
  3. Monarki (FIXI, Januari 2015)
    Sebuah novel fantasi yang mengisahkan Kadir, seorang budak yang dapat melihat orang-orang kayangan. Ia satu sumpahan keluarga. Dan parakosme adalah tema cerita ini. Sebuah karya psikotik yang diselingkan dengan gambaran kayangan yang dinerakakan.
  4. Debat Manusia Tuhan (Buku Hitam Press, Mei 2015)
    Sebuah novel yang mengisahkan perjuangan orang-orang murtad di Malaysia untuk menegakkan hak mereka untuk menjadi diri sendiri tanpa perlu berselindung di balik topeng seorang Muslim. Ia sebuah kisah yang menggunakan perlambangan dan penghujahan konsep hamba dan Tuhan dari pelbagai sudut, khususnya revolusi teknologi dan juga isu-isu semasa yang berkaitan dengan konflik teologi.
  5. Bala Tentera Tuhan (Buku Hitam Press, Mei 2015)
    Sebuah novel fantasi eskatologi yang menghuraikan satu teori kelahiran Imam Mahdi yang berlainan dari versi Sunni dan Syiah dari perspektif watak utama seorang ateis dan juga seorang Yahudi yang turut punya ramalannya yang tersendiri berkenaan akhir zaman.
  6. Dunia Tanpa Tuhan (Buku Hitam Press, Mei 2015)
    Sebuah novel fantasi eskatologi yang menghuraikan detik hari kiamat yang sepatutnya berlaku, tetapi ditangguhkan dek kerana Tuhan telah tiada. Satu penceritaan spekulatif sekiranya teknologi manusia telah melangkaui metafizik sehingga mampu melibatkan kejadian malaikat dan penciptaan PseudoQiyama untuk memuaskan ketamakan manusia itu sendiri.
  7. Nyawa Tanpa Bayang (Buku Hitam Press, Mei 2015)
    Sebuah antologi cerpen yang memuatkan 31 buah cerpen yang beraneka konsep dan genrenya.

DuniaTanpaTuhan

Buku Lokman yang mana menjadi kegemaran? Apa pengalaman menarik masa tulis buku tu?
Buku yang menjadi kegemaran saya adalah Dunia Tanpa Tuhan. Tajuk asalnya adalah Hedo dan proses penulisannya berlaku sesudah saya mendapat mimpi aneh di mana saya berada di tebingan sebuah sungai. Suasana ketika itu begitu kelabu. Dan seorang wanita dengan simbol aneh di dahinya muncul dan meminta pertolongan dari seberang sungai. Sebelum sempat saya menyeberangi sungai dan menolongnya, saya terjaga dari mimpi itu.

Simbol di dahinya itu cukup menghantui saya. Dan saya mendapat idea untuk memasukkan simbol itu ke dalam novel ini dan juga novel Monarki dengan harapan satu hari nanti, seseorang yang tahu mengenai simbol itu akan mencari saya dan menceritakan makna sebenar simbol tersebut.

Akhir sekali, bagilah lima tips-tips dan petua-petua menulis unik yang Lokman amalkan.

  1. Menulis perlukan pemikiran yang tajam. Pastikan tidur cukup. Tak ada guna bangun awal pagi kalau mengantuk lagi. Sudahnya lelapnya lebih, taipnya entah ke mana.
  2. Jadikan menulis itu satu-satunya prioriti yang ada dalam hidup anda. Saya bukanlah orang yang bermasyarakat, maka tips ini mungkin tak sesuai untuk anda yang banyak agenda bersama sahabat, bff, epf dan sebagainya. Namun ia berkesan untuk penulis seperti saya. Minimakan prioriti anda. Penulisan dan keluarga. Cukup.
  3. Tanamkan sikap benci pada duduk melanguk tak ada kerja. Sentiasa bawa buku nota untuk menuliskan idea anda. Sentiasa curi masa lapang untuk menuliskan idea anda. Anda banyak menghabiskan masa di media sosial? Tukarkan masa itu kepada sesi menulis draf karya anda.
  4. Selaku penulis separuh masa, kita ada komitmen kerja. Pastikan kerja anda siap dalam waktu yang ditetapkan. Jika bos anda tak bijak menggunakan masa kerja untuk menyiapkan kerja, anda sendiri harus bijak memanipulasi bos sebegitu. Bagaimana? Siapkan kerja-kerja anda secepat mungkin. Kalau senang, jangan tangguh. Siapkan dalam masa tersingkat dan terus menulis. Belajarlah mencuri masa.
  5. Sentiasa lihat menulis ini satu pekerjaan yang seronok dan tidak membebankan. Jika anda rasa ia membebankan, tukar perspektif anda. Sebagai contoh, anda menaip dan kebosanan. Bayangkan anda sedang menjahit plot demi plot dan bukan menulis. Bayangkan anda sedang dikelilingi watak-watak anda yang berkeras mahukan anda beri mereka jalan penamat. Gunakan imaginasi anda untuk mendera anda sendiri supaya terus menulis.

Terima kasih kerana sudi menjawab soalan kami, Lokman!

Novel Jian Petanda Kemunculan Raja SaiFai Malaysia

jian

Tajuk Buku: Jian
Pengarang: Muhammad Fadli Al-Akiti
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbitan: 2004
Halaman: 238 halaman

Jika Rahmat Haroun dikenali sebagai Bapa SaiFai Malaysia maka Muhammad Fadli Al-Akiti bolehlah digelarkan sebagai Raja SaiFai Malaysia.

Novel Jian, yang merupakan novel sulungnya, menghuraikan punca berlakunya beberapa kejadian misteri di sebuah daerah bernama Jian yang terletak di Pahang. Ia bermula pada tahun 1984 di mana dua belas orang penyelidik yang menjalankan penyiasatan saintifik rahsia di hutan belantara Pahang telah mengalami suatu tragedi mengerikan.

Hanya seorang sahaja penyelidik yang terselamat iaitu Dr. Mohd Fuad Osman. Selang tiga belas tahun kemudian, beberapa pakar saintis yang terdiri daripada Dr. Razak, Dr. Lim, Dr. Amrin dan Dr. Leon kembali ke perkampungan Jian untuk menyiasat punca kemalangan itu.

Konflik berlaku apabila Dr. Amrin dan Dr. Leon mendapat jemputan daripada Tuk Imam Azhar, salah seorang penduduk kampung untuk melihat keadaan Akob, anak kepada Tuk Mat. Akob berada dalam keadaan menyedihkan kerana terpaksa diikat dari dada hingga ke pinggang pada tiang rumah Tuk Imam Azhar. Muka Akob kuning pucat dan mukus mengalir dari celah rongga hidung dan mulutnya. Dia juga sering meracau, bercakap benda-benda mengarut, ketawa sendiri dan histeria tidak tentu arah.

Menurut Tuk Imam Azhar, penyakit pelik dan ganjil yang menyerang Akob bermula apabila dia terjumpa sesuatu di dalam hutan dan membawa masuk barang itu ke dalam kilang sabun tempat dia bekerja. Tidak lama kemudian, Akob mula mengamuk sehingga menyebabkan dua orang pekerja kilang terkorban. Perilaku Akob yang terlalu ganas menyebabkan dia disisihkan ahli keluarganya. Mujurlah keluarga Tuk Imam Azhar sudi menawarkan bantuan untuk menjaga Akob yang menderita.

Pak Busu, ketua kampung Jian berasa kurang senang dengan kehadiran doktor-doktor ini. Dia menyimpan dendam peribadi pada golongan doktor kerana membiarkan anaknya mati di hospital, biar pun anaknya sendiri menghidap barah paru-paru kerana tegar merokok. Pak Busu juga tidak mahu rahsia kejadian aneh di Kampung Jian diketahui ramai, maka dia berusaha menghasut penduduk kampung untuk mengusir keempat-empat doktor ini.

Dr. Razak, Dr. Lim, Dr. Amrin dan Dr. Leon mengkaji cecair kuning yang mengalir dari tubuh Akob. Mereka mendapati ciri-ciri mikroorganisma di dalamnya menyerupai bentuk virus yang boleh mengganggu sistem saraf. Kemudian mereka diberitahu bahawa terdapat sebuah makmal terbiar berdekatan dengan perkampungan ini. Penyiasatan dijalankan dan mereka mula menemui bukti-bukti kejadian ngeri yang pernah berlaku di dalam makmal itu 13 tahun yang lampau.

Keadaan menjadi bertambah genting apabila Akob tiba-tiba melolong dan menjadi bertambah ganas. Dia tidak sempat diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia. Tambah mengejutkan, mayat dua orang rakan kilang Akob yang dikatakan telah mati kini muncul semula dan menggemparkan penduduk kampung. Bagaimana kedua-dua mayat ini boleh hidup semula? Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke kawasan kampung itu?

Kemunculan semula Dr. Mohd Fuad Osman ke kampung Jian menambahkan lagi suasana misteri yang menyelubungi. Babak-babak akhir novel ini menyajikan beberapa siri kejutan yang tidak terduga, antaranya pengkhianatan yang terjadi di kalangan doktor-doktor itu serta perubahan mendadak yang berlaku kepada penduduk kampung.

Apakah yang menyebabkan perubahan itu? Siapakah dalangnya? Bagaimanakah mereka hendak menyelesaikan segala kekalutan yang melanda? Kesemua ini akan terjawab apabila anda membaca novel sains fiksyen bertajuk Jian ini.

Penulis buku ini, Muhammad Fadli Al-Akiti berjaya mewujudkan kisah yang lengkap dengan unsur misteri, saspens dan keterujaan.

Terdapat beberapa adegan yang diceritakan dengan cukup baik sehingga pembaca terasa seperti berada sendiri di tempat itu. Ada juga beberapa kisah mengenai perlakuan penduduk kampung yang melucukan sehingga membuatkan pembaca tidak kering gusi.

Secara keseluruhan, novel ini merupakan bahan bacaan yang baik, sarat dengan muatan ilmu dan sesuai untuk semua golongan terutama sekali bagi mereka yang gemarkan fiksyen sains.

“Susahnya menulis fiksyen sains!”

Salam,

Seringkali saya mendengar keluhan daripada sahabat penulis bahawa menulis cerita bergenrekan fiksyen sains amatlah susah.

Kenyataan seperti ini amatlah ganjil pada saya kerana sememangnya kerja penulisan ini memanglah sukar tidak kira genre apa yang dipilih mahupun cinta, seram, sastera, dan sebagainya.

Jadi kita perlu bertanya semula kepada mereka: Susah dibandingkan dengan apa?

Dan jawapan yang sering saya dengar ialah, “Oh, fiksyen sains ini susah kerana untuk menulisnya perlu banyak berfikir dan daya imaginasi yang tinggi serta berpengetahuan luas tentang bermacam-macam perkara.”

Saya rasa kenyataan seperti ini merendahkan usaha semua penulis, tidak kira jika penulis itu menulis fiksyen sains atau tidak.

Tidakkah kerja menulis fiksyen ini adalah kerja mewujudkan watak-watak yang sebelum ini tidak wujud langsung dan meletakkan mereka dalam beraneka situasi untuk mereka satu plot atau jalan cerita? Usaha sedemikian bukankah memerlukan banyak masa untuk memikir dan daya imaginasi yang sangat tinggi? Dan jika awak seorang penulis yang sangat mengambil berat kualiti karya yang dikarang, bukankah awak akan banyak membaca dan menelaah ilmu? Dan bukankah mudah untuk ruang kosong dalam ilmu diisi begitu sahaja dengan hanya melangkah ke Google dan menaip kata kunci yang sepatutnya? Mana-mana penulis fiksyen akan menghadapi situasi ini semasa menulis fiksyen, bukan penulis fiksyen sains sahaja.

Penulis fiksyen sains yang baik bukanlah makhluk luar biasa yang berkebolehan mencipta dengan sewenang-wenangnya. Dia juga seperti penulis lain. Dia juga berusaha keras menulis karyanya seperti mana-mana penulis lain yang menitikberatkan kualiti karya. Ini bukan persoalan bakat. Ini persoalan usaha yang keras dan tinggi.

Di sini bolehlah kita simpulkan bahawa anggapan bahawa menulis fiksyen sains ini ialah susah adalah kerana anggapan seperti ini dibuat oleh mereka yang tidak begitu minat dengan fiksyen sains.

Contohnya, saya tidak berminat untuk menulis novel cinta sama sekali. Ramai orang yang memandang rendah genre ini kerana ia dianggap genre picisan yang tidak berfaedah, oleh itu menulis novel cinta ini kacang je. (Bukan pandangan saya. Saya ok je.) Tetapi saya yakin, seorang penulis cinta yang mementingkan kualiti karyanya akan berusaha keras untuk menulis sebuah novel yang menghiburkan khalayak pembacanya.

Pembaca tegar genre cinta akan tahu jika penulis menulis sebuah buku cinta yang mempunyai jalan cerita yang cincai atau watak yang tidak berapa dibangunkan. Pembaca tegar novel cinta akan tahu jika penulis bersikap malas menulis novel cintanya jadi terdapat suatu tekanan di situ untuk penulis mengarang suatu karya yang boleh memuaskan citarasa pembaca dan ini memerlukan usaha yang keras dan tinggi. Tetapi walaupun susah untuk menghasilkan novel seperti ini, minat akan mendorong penulis untuk menghasilkan sebuah novel yang boleh menghibur pembacanya.

Berbalik kepada genre kesayangan kita, jika seseorang itu benar-benar meminati fiksyen sains, dia tidak akan mengeluh, “Oh susahnya!” tetapi sebaliknya dia akan melonjak riang dan bertanya kepada dirinya, “Alangkah coolnya jika sesuatu kebiasaan itu sebenarnya berbeza daripada tanggapan kita selama ini.”

Jika seseorang itu benar-benar meminati fiksyen sains, dia akan sentiasa bertanya kepada dirinya, “What if…?

Seperti seorang saintis yang mempunyai sifat ingin tahu yang amat kuat, seorang penulis fiksyen sains menerokai dunianya dengan membuka persoalan tentang alam dan manusia melalui fiksyennya. Seperti seorang saintis, dia juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang dunia sekelilingnya, cuma kaedahnya sangat berbeza, dan pada pendapat saya, lebih mengujakan.

Mungkin perkara inilah yang membuatkan sesetengah penulis mengeluh tentang sukarnya menulis fiksyen sains. Tetapi ia adalah lumrah alam untuk kita sebagai manusia mengupas beraneka soalan tentang diri, kemanusiaan, dan kesejagatan. Antara cara yang terbaik untuk melakukan ini adalah melalui fiksyen sains.

Dalam dunia ini, tiada yang mudah. Jika kita hanya mengeluh bahawa itu dan ini terlalu susah untuk dilakukan, maka kita tidak akan maju kerana sikap seperti itu adalah sikap yang membendung diri untuk cuba melakukan sesuatu di luar ruang selesa.

Jadi, untuk mereka yang “berani” menulis fiksyen sains, saya mengangkat tabik. Awak adalah antara penulis yang tidak kisah genre fiksyen sains itu adalah genre yang “susah”. Awak seorang yang mahu bermain dalam gelanggang gagasan yang berkemungkinan untuk mencetus suatu revolusi kemajuan.

Salam Perkenalan

Salam,

Blog ini saya hidupkan kerana punya perasaan perlunya ada blog di mana saya dapat menurunkan pendapat saya tentang cerita-cerita fiksyen sains (atau lebih mesra, “saifai”), khususnya novel dan cerpen yang ditulis orang Malaysia.

Saya tergerak untuk menghidupkan blog ini kerana pada tahun-tahun 2014 dan 2015, dapat dilihat suatu “gerakan” yang bersemangat menulis genre saifai. Selepas beberapa tahun di mana saifai Malaysia agak kecundang dan seolah-olah tidak kemana-mana, “gerakan” baru ini menghembuskan nafas baru dan membangunkan semula saifai negara.

Perkara ini tidak terhad kepada saifai bahasa Melayu sahaja malah berlaku juga kepada saifai Malaysia yang berbahasa Inggeris di mana ia juga mengalami suatu renaisans kecil apabila antologi fiksyen sains Malaysia pertama, Cyberpunk: Malaysia diterbitkan oleh rumah penerbitan indie, Fixi, di bawah label Fixi Novo. Tetapi dalam blog ini saya mahu fokus kepada buku-buku berbahasa Melayu sahaja.

Jadi, siapakah ahli-ahli gerakan ini?

Kita boleh mula dengan pemenang-pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Ke-3 di mana buku-bukunya telah diterbitkan awal tahun 2015. Boleh saya katakan di sini, pemenang pertama, Transgenik Sifar karya Sri Rahayu Mohd Yusop dan pemenang kedua, Leksikon Ledang karya Nor Azida Ishak dan Fadli Al-Akiti, ialah antara buku terbaik saifai Malaysia yang pernah saya baca.

Leksikon Ledang ditulis pasukan pengarang tetapi pada tahun yang sama mereka juga telah menerbitkan buku masing-masing.

resesif

Nor Azida Ishak telah menerbitkan buku antologi cerpen saifainya, Resesif, sebuah buku yang segar membawa cerpen-cerpen yang banyak memperintikan sains dan kebanyakannya “puts the science back in science fiction“.

gugurnya azazil

Fadli Al-Akiti pula telah menerbitkan Gugurnya Azazil, sebuah kisah yang berlatarkan tiga zaman, dan pada masa yang serentak meliputi subgenre perentasan masa, opera angkasa, dan sejarah alternatif.

biohazard

Kedua-dua Resesif dan Gugurnya Azazil telah diterbitkan di bawah penerbitan Simptomatik Press yang menerbitkan buku saifai khususnya. Simptomatik Press diwujudkan apabila kumpulan cerpen Biohazard karya Kushairi Zuradi diterbitkan pada lewat tahun 2014. Biohazard mengumpulkan cerpen-cerpen yang berkisar tentang hal-hal perubatan dan biologi.

Kemunculan sebuah rumah penerbitan yang mengkhususkan penerbitan buku-buku saifai adalah sesuatu yang sangat memberangsangkan kerana inilah kali pertama ianya pernah berlaku dalam sejarah kesusasteraan Malaysia. Walaupun buku-buku saifai pernah diterbitkan oleh penerbit-penerbit mainstream dan pernah juga sebuah penerbit mewujudkan label yang mengkhususkan saifai, tetapi tidak pernah ada rumah penerbitan yang hanya mengeluarkan buku-buku saifai. Sejauh manakah mereka mampu bertahan, itu persoalan lain. Yang patut kita raikan sekarang ialah akhirnya sebuah rumah penerbitan saifai sudah wujud dalam negara ini.

Awal tadi saya ada sebutkan penerbit indie Fixi. Mereka antara penerbit-penerbit buku-buku “pulp” yang kini sedang meletup di pasaran. Pada mulanya mereka terbuka untuk menerbit mana-mana naskhah yang diterima bawah kategori “pulp” dan ini termasuklah genre saifai.

Malangnya, buku-buku saifai yang diterbitkan itu, seperti Invasi karya Raja Faisal dan Gergasi karya Khairul Nizam Khairani tidak laris dan kini sudah tidak dicetak lagi. Hanya Zombijaya karya Adib Zaini sahaja yang berjaya menarik minat pembaca-pembaca Fixi. Walaubagaimanapun, Fixi telah memuatnaik novel-novel ini ke Wattpad (kecuali Zombijaya yang kini diterbitkan di bawah tajuk KL Zombi setelah diadaptasi menjadi filem) supaya peminat saifai tidak perlu gentar akan kesusahan untuk mencari buku-buku tersebut.

Jadi kini penerbit Fixi agak segan sedikit untuk menerbit sebuah karya saifai kerana kurang pembeli. Tetapi tidak bermakna tiada langsung karya saifai diterbitkan. Cuma kini elemen saifainya “disembunyikan” sedikit untuk membuatkan ia nampak lebih menarik kepada pembaca yang mungkin takut apabila mendengar perkataan “sains”.

Perkara ini timbul dalam buku-buku seperti Retina karya Lokman Hakim dan Bongkar karya Faisal Sulaiman di mana elemen-elemen saifainya tidak begitu didedahkan. (Mungkin ada di antara kalian yang akan berkata “buku-buku ini bukan saifai langsung! Ini fantasi namanya!” Jawapan saya kepada itu ialah saya tidak kira, malahan saya agak liberal dalam interpretasi istilah “fiksyen sains”. Pada pendapat saya, saifai itu merangkumi juga subgenre fantasi sains dan contoh baik fantasi sains ialah Star Wars di mana cerita kapal angkasa berbaur dengan agama dan magis yang tak ada kena mengena langsung dengan sains.)

Saya mahu sebutkan sedikit lagi tentang Lokman Hakim. Dia adalah seorang pengarang yang sangat prolifik. Saya pun tak ingat berapa karya yang beliau terbitkan bersama Buku Hitam Press pada tahun 2015 tetapi kalau tak silap saya kesemuanya adalah buku saifai, walaupun saifainya itu lebih kepada arah fantasi sains dan fiksyen eskatologi.

Seorang lagi penulis yang diterbitkan oleh Fixi pada tahun 2015 ialah Fahmi Mustaffa. Novel Fixinya yang sulung, Laknat, bukanlah saifai, tetapi beliau telah juga menulis sebuah novel pascaapokalips, Suatu Hari Nanti Manusia Akan Lupakan Tuhan, yang kini sedang menunggu penerbitannya bersama Simptomatik. Beliau juga telah menerbitkan sebuah chapbook bertajuk Renaisans yang mengandungi cerpen-cerpen pascaapokalips.

saifai legasi oakheart

Baru-baru ini juga rumah penerbitan Legasi Oakheart telah mengeluarkan zine kecil yang bertema “saifai” dan ia memuatkan esei, rencana, dan juga cerpen oleh penulis-penulis saifai seperti Hafizul Osman (salah seorang pemenang saguhati Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-3), Kushairi Zuradi, dan Nor Azida Ishak.

Pendek kata dunia saifai Malaysia kini sangat cerah. Nama-nama yang saya sebutkan di dalam pos blog inilah merupakan gelombang baru dalam dunia saifai Malaysia. Semoga mereka teruskan usaha dalam menghasilkan lagi karya-karya saifai dalam tahun 2016.

Kami baru sahaja melangkah seminggu ke dalam tahun baru ini tetapi sudah mendengar bisikan tentang segelintir penulis yang akan menghantar naskhah saifai mereka ke Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-4 dan ada juga khabar angin mengatakan sebuah rumah penerbitan besar tanahair akan mewujudkan sebuah label saifai baru pada tahun ini.

Oleh itu, susah untuk saya berduduk diam sahaja kerana terlalu banyak sebab untuk saya berceloteh tentang saifai dan saya pasti akan ada banyak perkara yang saya ingin menceritakan dalam bulan-bulan akan datang.

Jadi, di sini, saya ingin menjemput kalian yang membaca pos blog ini untuk bersama saya dan meraikan kebangkitan saifai Malaysia. Jika diizinkan, dalam masa akan datang saya akan cuba memuatkan rencana, makalah, atau resensi tentang saifai di blog ini, setakat mana yang saya mampu.

Marilah kita, penulis dan peminat saifai, bersama menjadikan tahun 2016 hebat untuk fiksyen sains Malaysia!